Baharom Bakar

Kuala Terengganu: Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) mengarahkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Besar di sini, ditutup selama 14 hari bermula Khamis lalu bagi pelaksanaan kawalan perebakan penyakit berjangkit.

Perintah penutupan SMK Bukit Besar dikeluarkan selepas JKNT mengesan terdapat dua kes positif Covid-19 membabitkan seorang guru dan pelajar sekolah itu.

Pengarah Kesihatan Terengganu Dr Nor Azimi Yunus mengesahkan penutupan sekolah itu dilakukan mengikut Seksyen 18 (1), (d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit 1988 (Akta 342).

Melalui surat perintah penutupan premis bagi kawalan perebakan penyakit berjangkit, Dr Nor Azimi memaklumkan SMK Bukit Besar diarahkan tutup hingga 10 Februari depan bagi mengelakkan perebakan penyakit berjangkit.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) Salim Ab Ghani berkata, pihak sekolah sudah diminta menangguhkan pembelajaran secara bersemuka membabitkan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan guru.

Berdasarkan maklumat awal, katanya, hanya 18 calon SPM 2020 tinggal di asrama sekolah itu sejak sesi persekolahan 2021 secara bersemuka dibuka pada Rabu lalu.

"Ibu bapa pelajar diminta tidak khuatir kerana JPNT dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) akan terus membuat pemantauan.

"Saya dimaklumkan keadaan calon SPM yang ditempatkan di asrama termasuk warden dan semua guru dalam keadaan terkawal," katanya ketika dihubungi.

Tinjauan yang dilakukan sekolah berkenaan mendapati lebih 30 pegawai dan kakitangan kesihatan melakukan kerja sanitasi termasuk melakukan ujian saringan Covid-19 ke atas calon SPM dan guru di sekolah itu.

Proses sanitasi dan ujian saringan Covid-19 terhadap calon SPM dan guru dilakukan selama empat jam bermula 10 pagi hari ini.

Semua calon SPM yang tinggal di asrama serta guru turut dipakaikan gelang kuarantin dan diarahkan tidak keluar daripada kawasan sekolah dalam tempoh ditetapkan.

PEGAWAI kesihatan sedang menampal notis penutupan SMK Bukit Besar. FOTO Baharom Bakar
PEGAWAI kesihatan sedang menampal notis penutupan SMK Bukit Besar. FOTO Baharom Bakar

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 January 2021 @ 3:57 PM