Baharom Bakar

Kuala Terengganu: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berpuas hati dengan penyediaan tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dilakukan pengurusan sekolah.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata, tahap pematuhan SOP dilaksanakan pengurusan sekolah pada hari pertama pembukaan sesi persekolahan membanggakan.

"Ya...saya amat berpuas hati, pengurusan sekolah mematuhi dan memenuhi garis panduan ditetapkan KPM.

"Hasil tinjauan dilakukan di beberapa sekolah semalam dan pagi ini, saya mendapati pengurusan sekolah mematuhi dan memenuhi garis panduan keselamatan kesihatan ditetapkan," katanya ketika meninjau pembukaan hari pertama sesi persekolahan untuk tingkatan lima dan enam di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Sulaiman di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) Salim Ab Ghani dan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din.

Radzi (kiri) sedang bermesra dengan pelajar ketika mengadakan tinjauan pematuhan SOP pada hari pertama pembukaan sesi persekolahan di SMK Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu hari ini. Foto Baharom Bakar
Radzi (kiri) sedang bermesra dengan pelajar ketika mengadakan tinjauan pematuhan SOP pada hari pertama pembukaan sesi persekolahan di SMK Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu hari ini. Foto Baharom Bakar

Terdahulu, Dr Radzi yang tiba di SMK Sultan Sulaiman pada 7 pagi meluangkan masa kira-kira satu jam bermesra selain memberi semangat kepada pelajar sekolah itu.

Dr Radzi juga melawat dan beramah mesra dengan petugas kesihatan serta guru yang bertugas di pusat pemberian vaksin (PPV) remaja di dewan SMK Sultan Sulaiman.

Semalam, Radzi mengadakan tinjauan di 10 buah sekolah di Hulu Terengganu dan daerah ini bagi melihat persiapan akhir sebelum memulakan sesi persekolahan secara bersemuka hari ini.

Sementara itu, JPNT memaklumkan seramai 22,066 pelajar tingkatan lima dan enam memulakan sesi persekolahan pada hari ini.

Daripada jumlah itu, ia membabitkan seramai 2,725 pelajar tingkatan enam dengan kaedah penggiliran.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Oktober 2021 @ 11:50 AM