Baharom Bakar

Kuala Terengganu: Pengusaha kantin sekolah disaran memastikan pekerja mereka lengkap dos vaksinasi menjelang pembukaan sesi persekolahan secara bersemuka di negeri ini pada 3 Oktober depan.

Pengerusi Penglibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta (PIBKS) Kebangsaan, Mohamad Ropaat Khamid berkata, pengusaha dan pekerja kantin sekolah perlu melengkapkan dos bagi memastikan keselamatan pelajar di 456 sekolah yang akan dibuka.

Katanya, Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) menghadapi kesukaran untuk mengesan bilangan pekerja kantin yang belum lengkap divaksin.

"Program vaksinasi membabitkan pelajar berusia 16 dan 17 tahun di seluruh negeri berjalan lancar, manakala bilangan guru melebihi 90 peratus lengkap vaksinasi.

"Namun, kadar vaksinasi pekerja sokongan masih rendah kerana mereka tidak bekerja tetap... operator kantin perlu bertindak segera untuk memastikan pekerjanya lengkap dua dos," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan sumbangan pelitup muka, alat pelindung muka dan cecair pembasmi kuman kepada JPNT, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Ahmad Shah Mohamed dan Pengarah JPNT, Salim Ab Ghani.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 September 2021 @ 5:47 PM
SALIM (dua kanan) diiringi Ahmad Shah (kiri) menyampaikan sumbangan Peralatan Pelindungan Diri (PPE) kepada pengusaha kantin sekolah ketika ditemui di Pejabat Jabatan Pendidikan Negeri. FOTO Ghazali Kori
SALIM (dua kanan) diiringi Ahmad Shah (kiri) menyampaikan sumbangan Peralatan Pelindungan Diri (PPE) kepada pengusaha kantin sekolah ketika ditemui di Pejabat Jabatan Pendidikan Negeri. FOTO Ghazali Kori