DR Zhi Yang bersama hadiah dimenangi.
DR Zhi Yang bersama hadiah dimenangi.

Kuala Lumpur: Hatinya pernah berasa gentar apabila virus ganas Covid-19 sudah mula menular di Malaysia pada Januari tahun lalu.

Ini kerana Dr Lee Zhi Yang, 27, baharu sahaja lapan bulan memulakan tugas sebagai pegawai perubatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Dr Zhi Yang berkata, sebagai pegawai perubatan yang baharu memulakan tugas, sudah tentu dirinya membayangkan cabaran besar perlu ditempuhi sepanjang pandemik itu.

"Walaupun ketika itu tiada pengalaman menguruskan kes yang besar, tetapi saya sentiasa optimis.

"Kerjasama yang baik dalam pasukan banyak membantu saya melalui proses ini dengan mudah," katanya.

Dr Zhi Yang adalah pemenang Kempen 30 Hari 30 Frontliners anjuran CSR, HotFM, Fly FM dan Harian Metro.

Menurutnya, meskipun beban tugas yang dipikul agak berat, tetapi beliau berasa seronok kerana menjadi salah seorang petugas barisan hadapan yang sama-sama berjuang untuk menghapuskan Covid-19.

"Banyak ilmu yang diperoleh mengenai virus Covid-19 dan cara mengendalikan pesakit dijangkiti virus berkenaan.

"Antara pengalaman ingin saya kongsikan ialah banyak berurusan dengan pesakit Covid-19 yang mengalami kelesuan emosi.

"Emosi pesakit mudah terganggu kerana tinggal bersendirian dalam hospital dan sepanjang tempoh itu keluarga tidak boleh datang melawat," katanya.

Oleh itu, katanya, komunikasi antara pesakit dengan keluarga setiap hari sangat penting sama ada menerusi panggilan telefon atau video.

"Ada ahli keluarga menghubungi doktor untuk mengetahui keadaan pesakit atau doktor menghubungi keluarga apabila pesakit kritikal.

"Sudah tentu hati saya turut tersentuh apabila keluarga menangis melihat keadaan pesakit kritikal," katanya.

Dalam pada itu, Dr Zhi Yang menasihati masyarakat terus patuh prosedur operasi standard (SOP) apabila Malaysia memasuki fasa endemik pada hujung Oktober depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 September 2021 @ 7:00 AM