NUR Syasya Izzati bersama hadiah  kemenangan dan sumbangan yang diterima  sempena program 30hari30fronliners di Hospital KPJ Klang. FOTO FAIZ ANUAR
NUR Syasya Izzati bersama hadiah kemenangan dan sumbangan yang diterima sempena program 30hari30fronliners di Hospital KPJ Klang. FOTO FAIZ ANUAR
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Ketika ramai yang gusar dan khuatir dengan penularan Covid-19, masih ada individu yang menolak dan menafikan kewujudan virus pembunuh ini.

Bagi petugas barisan hadapan, Nur Syasya Izzati Mohamad Essa, dia sendiri beberapa kali berdepan dengan individu yang berfikiran sedemikian.

"Paling sukar buat saya sebagai petugas barisan hadapan apabila berdepan golongan yang menolak vaksin atau antivaksin," katanya yang terpilih memenangi 30hari30fronliners anjuran CSR, HotFM dan Harian Metro.

Syasya, 23, berkata, menjadi cabaran buatnya untuk menjelaskan kepada mereka yang sudah menetapkan pendirian mereka untuk menolak vaksin.

"Mereka mempersoalkan mengenai vaksin dan apa sahaja yang berkaitan dengan vaksin. Susah sebenarnya untuk mengajar mereka.

"Walaupun kita dapat lihat di sekeliling kita, setiap hari ramai yang meninggal dunia akibat virus ini, masih ada golongan yang tetap dengan pendirian mereka menolak vaksin dan menolak kewujudan Covid-19," katanya.

Bertugas sebagai jururawat di wad pembedahan Hospital KPJ Klang, Selangor, Syasya turut menjalankan tugas sebagai petugas di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) KLCC.

"Di PPV KLCC, saya dapat lihat pelbagai ragam manusia. Dalam pada berdepan tekanan tugasan, ada juga beberapa pengalaman yang mencuit hati saya.

"Pernah ada seorang individu yang datang ke PPV untuk mengambil vaksin. Seperti biasa, saya tanya sama ada dia ada kontak rapat dengan mana-mana pesakit Covid-19.

"Dia menjawab, dia tak ada menghubungi mana-mana pesakit atau kenalannya yang positif. Saya rasa, itu benar-benar mencuit hati saya," katanya.

Gadis kelahiran Kuching, Sarawak itu juga mengharapkan pandemik ini berakhir secepat mungkin kerana dia benar-benar merindui keluarganya.

"Kali terakhir saya pulang ke kampung adalah pada Jun tahun lalu. Jadi, dah lebih setahun saya tak pulang ke Sarawak.

"Harapan saya, semoga pandemik ini cepat berakhir dan saya dapat pulang untuk bertemu keluarga serta saudara mara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Ogos 2021 @ 5:39 PM