DR Nadhir Adi bersama hadiah dan sumbangan yang diterima.
DR Nadhir Adi bersama hadiah dan sumbangan yang diterima.

Kuala Lumpur: Tiada tugas yang lebih sukar daripada menjadi orang pertama menyampaikan berita mengenai status positif kepada pesakit Covid-19.

Itu dikongsi Pegawai Perubatan Kesihatan Awam Hospital Kuala Lumpur (HKL) Dr Nadhir Adi Azahar mengenai cabaran beliau sebagai petugas barisan hadapan.

Beliau yang terpilih memenangi 30hari30frontliners anjuran CSR, HotFM dan Harian Metro berkata, selain dihujani pelbagai soalan dan reaksi emosi pesakit, beliau tidak terkecuali 'merasai' sendiri suasana sayu menyelubungi pesakit yang ketika itu menyedari mereka perlu berpisah dengan keluarga.

"Tugas paling sukar sepanjang menjadi frontliner ialah ketika saya perlu maklum pesakit bahawa mereka positif Covid-19. Mendengar reaksi mereka yang cukup beremosi meruntun hati saya.

"Ada yang boleh terima dan ada juga yang tidak. Pesakit yang saya hubungi biasanya akan bertanya bagaimana dengan keadaan keluarga mereka apabila disahkan positif. Apa yang mereka perlu buat?

"Lebih menyedihkan lagi apabila mendengar ada bunyi tangisan bayi pesakit dalam panggilan. Saya dapat bayangkan betapa sukarnya keadaan pesakit ketika itu," katanya.

Kata Dr Nadhir, jabatannya terbabit dalam semua hal pengurusan berkait dengan pesakit Covid-19 termasuk membuat ratusan panggilan setiap hari kepada pesakit yang positif dan kini terbabit dalam program vaksinasi kepada orang awam.

"Sesukar mana pun situasi termasuk berdepan kenaikan kes yang mendadak seperti yang berlaku penghujung tahun lalu sehingga awal tahun ini, saya dan rakan petugas barisan hadapan perlu sesuaikan diri dengan cepat.

"Setiap hari, saya perlu lakukan tidak kurang daripada 30 panggilan telefon kepada pesakit Covid-19. Semua panggilan itu penting kerana membabitkan makluman status ujian positif selain saringan kontak rapat dan saringan risiko. Kadangkala terpaksa dilakukan di luar waktu kerja.

"Sekarang pula tugas saya terbabit dengan program vaksinasi. Uniknya di pusat ini kami menguruskan kelompok penerima vaksin yang terdiri daripada pelbagai latar belakang berkeperluan khas, contohnya yang ada penyakit tertentu.

"Walaupun jadual kerja padat dan penat, saya kena sentiasa positif dan jalankan tugas sehabis baik kerana tanggungjawab saya untuk memastikan hal keselamatan pesakit dan orang di sekitarnya," katanya.

Dr Nadhir berkata, meskipun menyedari risiko iaitu petugas kesihatan sepertinya 'tidak kebal' daripada dijangkiti Covid-19, beliau percaya program vaksin yang giat dilakukan kerajaan boleh membantu mencapai imuniti kelompok dengan kadar segera.

"Keadaan sekarang ini bertambah baik pada pandangan saya kerana lihat inisiatif kerajaan yang bersungguh-sungguh mahu mencapai imuniti kelompok dengan kadar segera. Ini memberi keyakinan kepada kami petugas barisan hadapan untuk mengendalikan pesakit setiap hari.

"Meskipun tiada jaminan tidak dijangkiti tetapi risiko untuk menghadapi komplikasi yang serius apabila tidak divaksin dapat dielak. Saya dan rakan petugas lebih yakin untuk bekerja dalam situasi ketika ini.

"Selain itu sistem sokongan yang saya ada seperti rakan setugas dan juga pegawai atasan membuatkan saya tidak berasa sendirian melawan Covid-19," katanya.

Dalam keluarganya, selain beliau, kakaknya juga adalah petugas barisan hadapan di hospital lain yang turut merawat pesakit Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Ogos 2021 @ 3:02 PM