NAVINE bersama hadiah dimenangi.
NAVINE bersama hadiah dimenangi.

Kuala Lumpur: "Apabila ambulans membawa pesakit Covid-19 lalu, apa yang saya dan rakan mampu lakukan hanya mendoakan kesihatan mereka.

"Namun, apabila van jenazah lalu, kadangkala terasa seperti kami gagal melakukan tugas. Ini kerana kami sudah melakukan banyak sekatan jalan raya, pemantauan di premis, tetapi masih ada meninggal dunia disebabkan Covid-19."

Demikian kata Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ampang Jaya Inspektor Navine Gunasegaran sepanjang hampir 18 bulan menjadi petugas barisan mendepani pandemik Covid-19.

Menurutnya, dia sentiasa mengingatkan diri dan anggota seliaannya untuk terus berusaha membenteras pandemik ini.

"Dengan cara itu, kami terus teguh dan bersemangat menjalankan tugas untuk berkhidmat kepada negara," katanya yang terpilih antara pemenang Kempen 30 Hari 30 Frontliners anjuran CSR, HotFM, Fly FM dan Harian Metro.

Namun, tidak semua hari dilalui meninggalkan peristiwa menyedihkan kerana ia sentiasa disulami dengan gelagat orang awam yang mencuit hati dengan pelbagai alasan untuk melepasi sekatan.

Navine berkata, hampir setiap hari ada saja alasan tidak munasabah dan melucukan diberikan orang awam untuk melepasi sekatan.

"Antara alasan yang kami terima termasuk mahu menyiram pokok bunga, mahu pulang memberikan kucingnya yang sudah sebulan tidak makan dan banyak lagi," katanya.

Sebagai ketua, Navine sentiasa memastikan anggota di bawah seliaan bersemangat menjalankan tugas demi negara.

"Dalam keadaan sekarang, komunikasi yang baik sesama pasukan adalah sangat penting. Cara bergaul kami lain, saya tidak boleh setiap hari bertegas dan perlu faham perasaan mereka.

"Adakala ketika waktu rehat, kami akan menjamu selera dengan makanan yang enak. Kami juga akan memesan makanan istimewa Sabah atau Sarawak khusus bagi anggota dari negeri itu yang sangat merindui kampung halaman," katanya.

Sebagai suami dan bapa kepada anak berusia dua tahun, bagi Navine cabaran utama dan ketakutannya adalah risiko jangkitan Covid-19 yang mungkin dibawa pulang bertemu isteri dan anak di rumah.

"Jadi, apabila pulang ke rumah selepas menjalankan tugas, kami berisiko membawa bersama virus Covid-19 dan ia ketakutan terbesar saya," katanya yang beberapa kali melaksanakan kuarantin kendiri kerana ada anggota pasukannya positif Covid-19 ketika menjalankan tugas.

Dalam keadaan sekarang, Navine sangat berharap orang awam yang tidak mempunyai keperluan penting di luar untuk duduk di rumah untuk seketika.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Ogos 2021 @ 7:02 AM