ILUSTRASI pembangunan Kompleks Islam As Sofa Mantau di atas tanah seluas 2.7 hektar.
ILUSTRASI pembangunan Kompleks Islam As Sofa Mantau di atas tanah seluas 2.7 hektar.
Oleh Ahmad Hasbi


Seremban: Yayasan Sofa sedang membantu membangunkan Kompleks Islam As Sofa Mantau di atas tanah seluas 2.7 hektar di Mantau di sini.

Kompleks yang bakal dilengkapi pelbagai fasiliti untuk pembangunan pendidikan berorientasikan al-Quran, turath dan akademik itu dianggarkan menelan kos berjumlah RM55 juta serta dijangka siap pada 2025.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Abdullah Abdol Razak berkata, kompleks berkenaan mampu menampung sehingga 3,000 huffaz, ahli al-Quran dan hadis dalam satu masa dan menjadikannya institusi pengajian terbesar di bawah projek itu.

"Pembinaannya merangkumi lima fasa dan ketika ini kami dalam fasa 1 iaitu proses pembelian tanah bernilai RM5.5 juta. Insya-Allah, urusan ini akan selesai akhir tahun ini.

"Pembangunan kompleks ini merangkumi pembinaan kampus tetap Kolej Islam As Sofa bagi pelajar dalam dan luar negara, pusat tahfiz menengah, pusat penyelidikan serta surau yang mampu menampung sehingga 5,000 jemaah.

"Apabila siap kelak, kompleks ini juga akan dilengkapi kemudahan lain seperti bangunan asrama, perpustakaan, blok akademik dan canselor, kafeteria, rumah tamu serta penginapan untuk warga emas," katanya ketika ditemui.

Abdullah Abdol Razak.
Abdullah Abdol Razak.

Beliau berkata, kompleks berkenaan akan menjadi pusat pengajian yang menggabungkan pendidikan tahfiz, turath dan akademik kepada pelajar di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hingga pengajian doktor falsafah (PhD) secara program berkembar.

"Malah, ia juga turut menawarkan pengajian kepada orang awam yang berhasrat untuk mendalami al-Quran dan meningkatkan kefahaman dalam bidang akidah, seiring dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

"Kompleks itu juga akan menempatkan pelajar tahfiz dalam kalangan anak yatim dan miskin dengan mendapat tajaan penuh oleh Yayasan Sofa," katanya.

Menyingkap sejarah penubuhan institusi di bawah bantuan Yayasan Sofa, beliau berkata, pihaknya optimis kompleks baharu itu bakal menjadi pusat latihan untuk melahirkan ulama serta menjadi pusat pengajian penulisan dan kitab rujukan agama terkenal di seluruh dunia.

LULUSAN diploma Kolej Islam As Sofa yang dilahirkan saban tahun dalam pelbagai bidang sedia berkhidmat kepada agama dan masyarakat.
LULUSAN diploma Kolej Islam As Sofa yang dilahirkan saban tahun dalam pelbagai bidang sedia berkhidmat kepada agama dan masyarakat.

"Kita boleh nilai sendiri kejayaan Sekolah Tinggi Islam As Sofa (STIAS), Rembau dan cawangan lain yang dibangunkan sejak 20 tahun lalu menjadikan Yayasan Sofa sebagai saluran dalam menyampaikan sumbangan melalui pendidikan, pembangunan serta kebajikan.

"Kami juga mempunyai rangkaian dengan beberapa universiti di luar negara seperti di Mesir, Tunisia dan Maghribi. Ramai pelajar kami yang berjaya melanjutkan pelajaran di universiti terbabit.

"Dengan mengaplikasikan tiga gabungan elemen al-Quran, turath dan akademik selain menghimpunkan silibus yang pernah diajar di Universiti Ez Zitouna, Tunisia dan Universiti Qarawiyyin, Maghribi, kompleks ini bakal melahirkan ulama serta sarjana tersohor pada masa akan datang," katanya.

Beliau berkata, misi Yayasan Sofa mahu menubuhkan pusat pengajian tahfiz yang eksklusif, sekali gus mengubah persepsi masyarakat terhadap sekolah pondok yang dianggap beroperasi dalam keadaan daif.

KAWASAN seluas 2.7 hektar di Mantau yang akan menempatkan Kompleks Islam As Sofa Mantau.
KAWASAN seluas 2.7 hektar di Mantau yang akan menempatkan Kompleks Islam As Sofa Mantau.

"Selayaknya penuntut ilmu agama, khususnya anak yang menghafaz al-Quran dan hadis baginda Rasullullah SAW ini diberi layanan 'VIP' sesuai dengan kedudukan mereka sebagai penuntut ilmu agama," katanya.

Abdullah berkata, sebagai organisasi bukan kerajaan (NGO), Yayasan Sofa tidak mendapat pembiayaan daripada mana-mana pihak dan sumber kewangan adalah hasil daripada infak serta sumbangan rakyat Malaysia yang prihatin.

"Kami kini sedang mengumpul dana untuk pembangunan kompleks ini yang menelan belanja RM55 juta. Ketika ini kami memberi fokus untuk fasa 1 bagi proses pembelian tanah.

"Sehubungan itu, Yayasan Sofa mengajak mana-mana syarikat atau agensi yang berminat untuk bekerjasama melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) atau dana korporat.

"Sumbangan orang ramai juga dialu-alukan menerusi infak tunai atau pembayaran dalam talian ke akaun CIMB ISLAMIC Yayasan Sofa Negeri Sembilan 8601881873.

"Orang ramai boleh melayari laman web kami www.yayasansofa.com.my untuk mendapatkan maklumat lanjut atau menghubungi talian 013-2412919," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 September 2021 @ 7:10 AM