Mohd Nasif Badruddin


Berbeza dengan kebanyakan pusat tahfiz yang hanya menumpukan pengajian al-Quran semata-mata, Maahad Tahfiz as-Sofa di Rembau, Negeri Sembilan menggabungkan tiga elemen pengajian iaitu al-Quran, kitab turath dan akademik.

Mudir Maahad Tahfiz as-Sofa Ustaz Mohd Khuzairi Yusoff, 39, berkata, integrasi tiga kurikulum itu bertujuan melahirkan generasi rabbani seimbang dalam tuntutan ilmu duniawi dan ukhrawi.

“Kurikulum utama kami al-Quran iaitu 70 peratus diikuti kitab turath 20 peratus dan akademik 10 peratus,” katanya.

Menurutnya, kelas akademik hanya diadakan pada petang Jumaat dan pagi Sabtu namun pelajarnya tidak menduduki peperiksaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3).

Begitupun katanya, ia tetap mengguna pakai silibus Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) dan pelajar hanya menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Tinggi Islam as-Sofa selepas tamat pengajian al-Quran selama lima tahun di Maahad Tahfiz as-Sofa.

Beliau berkata, pada awalnya maahad tahfiz itu ditubuhkan dengan nama Darul Quran Wal Hadith di Ampang, Kuala Lumpur pada 30 Disember 2006 sebelum berpindah ke Seremban, Negeri Sembilan pada 2013.

“Pada awal 2016 ia ditukar nama kepada Maahad Tahfiz as-Sofa sebelum pentadbiran dipecah dua bahagian pada April 2016. Pelajar lelaki beroperasi di Rembau manakala pelajar perempuan kekal di Seremban.

“Maahad Tahfiz as-Sofa di Rembau kini mempunyai 115 pelajar lelaki dari seluruh negara di bawah bimbingan sembilan guru,” katanya.

Menurutnya, kriteria pemilihan pelajar ialah berusia 12 hingga 17 tahun dan minat menghafaz al-Quran serta mendalami turathi Islam, selain lulus temu duga.

Katanya sistem tahfiz as-Sofa ialah penekanan kefasihan dan kelancaran bacaan (makhraj dan tajwid) serta pemantapan hafazan menerusi rutin bacaan satu juzuk sehari selepas Subuh dan Maghrib.

“Kami menyasarkan pelajar dapat menghafaz al-Quran dalam tiga tahun iaitu 10 juzuk setahun dan maksimum lima tahun.

“Pelajar mengikuti pengajian kitab turath dengan rujukan pembelajaran dari sumber muktabar (ilmu qiraat dan adab ahli al-Quran),” katanya.

Ustaz Mohd Khuzairi berkata, Maahad Tahfiz as-Sofa memberi jaminan hala tuju pendidikan sehingga ke peringkat tinggi, selain penekanan terhadap amalan sunah serta tarbiah berpandukan al-Quran dan Sunnah Nabawiah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Jun 2017 @ 6:23 AM