Kecemerlangan Majlis Amanah Rakyat (MARA) sebagai sebuah agensi yang menyokong pembangunan program pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET) bukanlah sesuatu yang asing dalam komuniti TVET di Malaysia.

Bagi memastikan mutu pendidikan TVET di semua Institusi Pendidikan MARA (IPMA) terus ditambah baik, pelbagai usaha serta transformasi dilaksanakan dan terbaharu MARA menggabungkan elemen kemahiran dan hafazan al-Quran dengan memperkenalkan program TVET-Tahfiz.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, MARA ingin membuka peluang kepada pelajar tahfiz mempelbagaikan kemahiran dengan melanjutkan pelajaran dalam pelbagai bidang diploma kemahiran dan pada masa sama meneruskan pengajian hafazan sepanjang pengajian.

"Kita mahu melahirkan generasi pelajar yang berkemahiran dan dalam masa yang sama juga adalah penghafaz al Quran supaya mereka mampu menjadi pemimpin yang berkualiti dan berteraskan nilai Islam," kataya.

Beliau berkata, usaha yang digerakkan MARA ini juga sejajar dengan pengumuman YAB Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, baru-baru ini.

Beliau berhasrat untuk meningkatkan akses peluang pendidikan berkualiti serta pembangunan modal insan termasuk kepada huffaz melalui latihan dalam bidang teknikal dan profesional serta kemahiran untuk kerjaya masa hadapan.

Katanya, cetusan idea membangunkan program TVET-Tahfiz ini bertitik tolak daripada kejayaan program Ulul Albab yang dilaksanakan di beberapa Maktab Rendah Sains MARA (MRSM).

Mahdzir berkata umum mengetahui, MRSM Ulul Albab berperanan melahirkan modal insan yang berilmu dan bersahsiah tinggi ke arah mencapai matlamat negara maju.

"Sejak pengenalan program ini tujuh tahun lalu di MRSM, seramai 4,019 pelajar mengikuti program ini daripada lima MRSM di Kota Putra, Gemencheh,Kepala Batas, Sungai Besar, Semporna dan dua MRSM baharu di Bagan Datuk dan Bera.

"Berdasarkan bilangan pelajar yang mengikuti program Ulul Albab di MRSM dan juga seluruh sekolah tahfiz yang lain, kita melihat wujud keperluan untuk menyediakan laluan kepada pelajar huffaz ini untuk akses kepada pengajian teknikal dan berteknologi tinggi tetapi dalam masa yang sama mendapat sokongan dari aspek meneruskan proses hafazan mereka," kata Mahdzir.

Penggabungan elemen pengajian kemahiran dan al-Quran di peringkat IPMA ini sebenarnya sudah bermula sejak tahun 2008 apabila Institut Kemahiran MARA (IKM) dan Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) melaksanakan program Titian Tahfiz untuk tempoh enam bulan sebagai asas sebelum pelajar meneruskan pengajian di peringkat sijil dan diploma.

Kemudian diikuti dengan pelaksanaan Program Huffaz profesional UniKL Ulul Albab di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) serta GIATMARA yang turut menyediakan platform kepada semua lepasan program tahfiz ini sebagai kesinambungan untuk mereka mengekal, memelihara dan memantapkan hafazan al-Quran yang diikuti dari peringkat pendidikan menengah atau tahfiz.

Justeru, MARA menawarkan program baharu Pendidikan dan Latihan Vokasional- Tahfiz (TVET- Tahfiz) dan kumpulan pertama memulakan pengajian di Institut Kemahiran MARA (IKM) Lumut, Perak pada awal Oktober yang lalu.

Program TVET-Tahfiz yang dilaksanakan ini membuka peluang kepada pelajar berumur 17 tahun ke atas dan menghafaz sekurang-kurangnya 10 juzuk al-Quran untuk melanjutkan pengajian di peringkat diploma tanpa menjejaskan pengajian tahfiznya.

Namun begitu, pelajar yang tidak mempunyai Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau sijil yang setara masih boleh dipertimbangkan dengan syarat perlu mengikuti program bridging selama tiga bulan sebagai persediaan sebelum mengikuti program perdana diploma.

"Sepanjang berada di IKM, pelajar TVET-Tahfiz akan mengikuti pendidikan secara dual pengajian melalui jadual khas yang telah disusun agar modul latihan kemahiran dan hafazan dapat dijalankan seiring. Pelajar yang terpilih akan mengikuti dua sesi murajaah/tasmik pada hari Isnin hingga Jumaat bermula dari jam 6 pagi hingga 8 pagi dan pada jam 9 hingga 10 malam. Manakala, sesi pembelajaran diploma dijalankan bermula dari jam 8 pagi hingga 5 petang dan pelajar juga akan diberikan masa rehat pada waktu tengah hari," katanya.

Selepas tamat pengajian, pelajar ini akan dianugerahkan Diploma Kemahiran Malaysia (DKM), sijil kompetensi, sijil pencapaian hafazan dan Sijil Syahadah Tahfiz (sekiranya pelajar lulus Majlis Syahadah) yang akan dianugerahkan oleh pusat tahfiz bertauliah.

Program yang mendapat kerjasama Yayasan Pendidikan Maahad Tahfiz AlQuran Wal Qiraat Addin, Perak ini menjadikan IKM Lumut sebagai perintis kepada pelaksanaan program TVET-Tahfiz: Diploma Teknologi Kimpalan.

Yayasan Pendidikan Maahad Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat Addin, Perak merupakan institusi tahfiz yang diiktiraf oleh Jabatan Agama Islam Malaysia (JAKIM) yang diasaskan sejak tahun 1993 dan kini mempunyai 24 cawangan Maahad Tahfiz.

Dengan kepakaran dan pengalaman yang dimiliki oleh institusi ini, kolaborasi dalam melaksanakan program TVET-Tahfiz diyakini mampu melahirkan graduan yang berkemahiran yang kompeten dan celik al-Quran.

Untuk maklumat lanjut berkenaan Program TVET-Tahfiz, sila layari; https://www.mara.gov.my

.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Oktober 2021 @ 7:01 AM