Pelajar Kolej Islam As Sofa bakal menyambung pengajian di Universiti Mohammed V, Rabat, Maghribi.
Pelajar Kolej Islam As Sofa bakal menyambung pengajian di Universiti Mohammed V, Rabat, Maghribi.
Wartawan HM


Kuala Lumpur: Lapan pelajar Kolej Islam As Sofa (KIS) kini menyambung pengajian mereka di peringkat Ijazah Sarjana Muda di Universiti Mohammed V (UMV), Rabat, Maghribi.

Ketua Pegawai Eksekutif KIS, Mohd Sufi Ibrahim berkata, kumpulan pelajar itu menjadi sumber inspirasi kepada pelajar lain di institusi tahfiz dan turath As Sofa untuk terus cemerlang dalam pengajian masing-masing.

"Graduan KIS mempunyai jati diri dan keterampilan tinggi untuk dijadikan model kepada pelajar lain untuk mengikuti jejak langkah senior mereka menyambung pelajaran di sana.

"Melanjutkan pengajian di UMV adalah langkah permulaan untuk mengecapi kejayaan dalam bidang yang dipilih antaranya Syariah, Usuluddin dan Pengajian Islam," katanya.

Terdahulu, kumpulan ketujuh alumni KIS itu tiba di Lapangan Terbang Mohammed V, Rabat dan disambut Perwakilan Pelajar As Sofa Maghribi, Zakiy Yamani, semalam.

Selain UMV, KIS juga menghantar pelajar ke Universiti Ez Zioutuna Tunis, Tunisia; Universiti Antarabangsa Afrika, Sudan dan Universitas Islam Negeri, Sulthan Thaha Saifuddin, Jambi, Indonesia.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sofa, Abdullah Abdol Razak berkata, kejayaan pelajar KIS melanjutkan pelajaran ke luar negara itu adalah kejayaan bersama dermawan yang menyangga usaha Yayasan Sofa membangunkan Maahad Tahfiz dan Turath eksklusif di negara ini.

"Bukan senang untuk memasuki Universiti Sultan Muhammed V, tetapi graduan As Sofa berjaya mendapat tempat di sini. Itu adalah kejayaan terbesar As Sofa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 September 2021 @ 7:33 PM