STIAS Rembau, institusi pertama dibangunkan hasil infaq orang ramai.
STIAS Rembau, institusi pertama dibangunkan hasil infaq orang ramai.
Hartini Mohd Nawi


Bermula hanya sebuah surau kecil di Kampung Chenong, Rembau, Negeri Sembilan dengan 16 pelajar perintis pada 1996, kini Yayasan Sofa atau lebih dikenali dengan nama As Sofa menaungi 13 institusi pendidikan Tahfiz dan Turath serta berjaya melahirkan ribuan ahli al-Quran dan Hadith.

Malah, Yayasan Sofa melangkau sempadan negara melalui jalinan kerjasama dengan beberapa universiti terkemuka dunia iaitu Universiti Muhammad V Maghribi Universiti Ez Zitouna Tunisia, Universiti al Quran al Karim Sudan dan Universiti Islam Negeri Sultan Thoha Saifuddin Jambi, Indonesia untuk menghantar pelajar As Sofa menyambung pengajian.

Kewibawaan nama As Sofa turut mendapat kepercayaan tinggi daripada Universiti Muhammad V Maghribi yang menawarkan kuota tanpa had bagi graduan Kolej Islam Assofa (KIS) menyambung pengajian melalui perjanjian antara KIS dan universiti berkenaan pada Mei 2017.

Yang Dipertua Yayasan Sofa, Ustaz Mohd Hanif Abdul Hamid berkata,

melalui perjanjian itu juga, Universiti Muhammad V menganugerahkan Pengerusi KIS satu Kursi di universiti berkenaan bagi menjalankan penyelidikan dalam bidang Turath.

Beliau berkata, ini adalah satu pencapaian amat bermakna buat Yayasan Sofa kerana bukan sahaja pelajar KIS dapat menyambung pengajian di Maghribi malah kuota tanpa had ini membuka peluang kepada pelajar lain, khususnya di bawah Majlis Agama Islam Negeri Sembilan.

Ustaz Mohd Hanif berkata, siapa sangka daripada sebuah surau kecil dengan nama Madrasah Al-Taufiqi Al Husaini, As Sofa boleh melebarkan sayap hingga ke peringkat antarabangsa, termasuk membuka masjid Melayu pertama dan Kolej Sofa di kota London .

Mengimbas kembali perjalanan awal As Sofa, Ustaz Mohd Hanif berkata, perkembangan institusi itu bermula dengan pembinaan Sekolah Tinggi Islam As Sofa (STIAS) di Bukit Sembilan, Rembau pada tahun 2001, atas hasil wakaf umat Islam.

Beliau berkata, pembinaan itu bermula dengan modal RM17 sumbangan seorang wanita tua yang buta, kemudian seorang hamba Allah mewakafkan tanah seluas 3.23 hektar (lapan ekar) dikelilingi hutan di Bukit Sembilan.

MENGEKALKAN sistem pembelajaran berkonsepkan halaqah mengikut tradisi ulama terdahulu.
MENGEKALKAN sistem pembelajaran berkonsepkan halaqah mengikut tradisi ulama terdahulu.

"Terus terang saya katakan, sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan, Yayasan Sofa tidak menerima bantuan khusus daripada mana-mana pihak. Sebaliknya penyumbang adalah masyarakat awam.

"Dengan terbinanya bangunan terawal di Bukit Sembilan iaitu sebuah surau membolehkan pelbagai aktiviti pengajian dan majlis ilmu untuk pelajar dan masyarakat umum diadakan," katanya.

Ustaz Mohd Hanif berkata, usaha Yayasan Sofa tidak pernah berhenti, sebaliknya permintaan tinggi dalam kalangan ibu bapa untuk menghantar anak ke Maahad Tahfiz dan Turath menyuntik semangat kepada warga kerja Yayasan Sofa terus berjihad membangunkan lebih banyak institusi.

Katanya, institusi As Sofa menggabungkan pendidikan akademik, al Quran dan kitab Turath bertujuan melahirkan pelajar huffaz profesional yang bukan sahaja mahir dalam bidang akademik tetapi mantap akidah yang mendokong aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah.

"Pengajian akademik dilaksanakan mengikut silibus Kementerian Pendidikan Malaysia manakala pengajian al Quran dan turath menekankan sistem pendidikan bersanad dan bertalaqqi dengan guru yang diiktiraf.

PERPUSTAKAAN di STIAS yg menghimpunkan pelbagai jenis bahan bacaan mencecah 40,000 kitab agama, buku akademik dan lain-lain dalam bahasa Melayu, Inggeris dan Arab
PERPUSTAKAAN di STIAS yg menghimpunkan pelbagai jenis bahan bacaan mencecah 40,000 kitab agama, buku akademik dan lain-lain dalam bahasa Melayu, Inggeris dan Arab

"Pendidikan Turath adalah keistimewaan di As Sofa kerana kita lihat bidang pengajian ini sekarang semakin kurang dititikberatkan, sedangkan ia sangat penting untuk memastikan ketulenan akidah anak-anak kita.

Turath bermaksud warisan kitab yang ditulis oleh ulama muktabar seperti Imam Syafie, Imam Malik, Imam Ghazali, Imam Bukhari dan lain-lain yang sumber utama diambil daripada penulis asal tanpa diubah atau disaring guru yang membawa dan kebanyakkan menggunakan Bahasa Arab dan tulisan Jawi lama.

"Antara subjeknya ialah Akidah, Fekah, Tasawuf, Tafsir, Hadith dan Bahasa Arab. Semua tenaga pengajar As Sofa mempunyai ijazah yang bersambung sanad kepada guru yang menyampaikan kitab ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 September 2021 @ 6:21 AM