Mohd Amin Jalil

Seremban: Terdapat pertambahan 26 individu membabitkan 18 pelajar dan lapan kakitangan Sekolah Tinggi Islam As Sofa (STIAS) Senawang, dekat sini, disahkan positif Covid-19.

Pengerusi Pengelola STIAS Senawang, Abdullah Abdol Razak berkata, pertambahan bilangan mereka yang positif Covid-19 itu adalah hasil ujian saringan yang baharu diperoleh.

"Kami ingin memaklumkan bahawa keputusan lanjut hasil ujian saringan yang dilakukan mendapati terdapat pertambahan baharu seramai 26 individu yang disahkan positif Covid-19.

"Tambahan ini membabitkan seramai lapan orang kakitangan dan 18 pelajar.

"Keputusan ini diperoleh hasil laporan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kepada pihak sekolah," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Terdahulu difahamkan, 33 pelajar sekolah berkenaan disahkan positif Covid-19 daripada keseluruhan 84 pelajar yang mengambil ujian saringan sebelum ini.

STIAS yang beroperasi di Jalan Bunga Tanjung 1/1, Senawang Industrial Park ditutup selama 14 hari mulai 21 Oktober lalu.

Abdullah berkata, pihaknya sudah mengambil pelbagai langkah dan tindakan terbaik berpandukan nasihat KKM dengan menempatkan pelajar yang positif di bilik khas.

Beliau berkata, mereka diasingkan daripada pelajar dan guru yang masih menunggu keputusan ujian saringan dan begitu juga segala kemudahan harian mereka turut diasingkan.

"Pelajar harian yang tidak menetap di asrama juga diarahkan menjalani kuarantin di sekolah sementara menunggu keputusan ujian saringan bagi mengelakkan jangkitan ini tersebar ke luar kawasan sekolah," katanya.

AMBULANS memasuki Sekolah Tinggi Islam As Sofa. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin
AMBULANS memasuki Sekolah Tinggi Islam As Sofa. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin

Menurutnya, pihaknya ingin merakamkan penghargaan kepada pengurusan Yayasan Sofa dan Kumpulan Pendidikan Muhammadiah (MUTIM), yang banyak membantu dalam memastikan kebajikan pelajar dan guru terjaga.

"Di samping memastikan bekalan makanan sentiasa mencukupi untuk semua warga yang sedang dikuarantin, pihak yayasan dan MUTIM juga turut mengambil inisiatif menghantar bekalan makanan kepada ahli keluarga warga kerja sekolah yang sedang dikuarantin di rumah masing-masing," katanya.

Menurutnya, pihaknya akan terus mengikuti segala langkah yang disyorkan KKM dan akan sentiasa mematuhi segala arahan pihak berkuasa dengan mengambil langkah penjagaan lebih ketat untuk mengelak penyebaran wabak ini.

Sepanjang tempoh kuarantin ini katanya, pihak sekolah terus menyusun rutin harian pelajar di mana mereka akan solat secara berjemaah dengan mematuhi SOP penjarakan fizikal, mengulang hafalan al-Quran dan mengulangkaji pengajian akademik mereka di tempat masing-masing.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Oktober 2020 @ 5:28 PM