Wan Rosdy Wan Ismail
Wan Rosdy Wan Ismail
Asrol Awang


Kuantan: Kerajaan negeri bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Ombudsman Negeri Pahang (JONP) bagi memperkukuhkan kualiti pengurusan aduan berkaitan integriti dan penyampaian perkhidmatan awam negeri itu.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, persetujuan dicapai dalam mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) negeri, Rabu lalu yang mana JONP akan dipengerusikan Ahli MMK Datuk Seri Mohd Soffi Abdul Razak.

Katanya, jawatankuasa itu akan turut dianggotai Setiausaha Kerajaan Neger; Penasihat Undang-undang Negeri; Pengarah Jabatan Audit Negara negeri; Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri, Ketua Unit Integriti, Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) negeri dan Ketua Unit Audit Dalam, Pejabat SUK negeri.

"Unit Integriti, Pejabat SUK negeri ialah urusetia kepada JONP dan jawatankuasa ini akan bermesyuarat berkala bagi menangani isu-isu berkaitan bidang kuasanya.

"Selain itu, ia akan menurut model diguna pakai Kerajaan Sarawak yang merupakan perintis dalam kalangan negeri-negeri dan Kerajaan Persekutuan memperkenal dan melaksanakannya.

"Jawatankuasa ini telah pertama kali dicadangkan kepada Kerajaan Pahang oleh Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC), Jabatan Perdana Menteri tahun lalu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Wan Rosdy berkata, antara peranan dan tanggungjawab JONP ialah meneliti aduan salah laku jenayah rasuah, salah guna kuasa, penyelewengan serta pelanggaran tata kelakuan dan etika organisasi yang membabitkan perkhidmatan awam Pahang yang tidak dapat diselesaikan di peringkat jabatan dan agensi.

Katanya, JONP juga boleh melantik Pasukan Siasatan Dalaman (PSD) dan meneliti hasil siasatan atau maklum balas aduan serta membuat keputusan berhubung perkara yang berkenaan.

"Selain mempertimbang dan meluluskan sebarang syor dan cadangan penambahbaikan pengurusan aduan salah laku berkaitan integriti penjawat awam negeri.

"Unit Integriti, Pejabat SUK negeri akan menerima dan melakukan saringan terhadap semua aduan melalui Jawatankuasa Menilai Maklumat (JMM) sebelum dibawa ke peringkat JONP," katanya yang memberitahu aduan yang akan diambil tindakan antaranya ialah penyalahgunaan kuasa membabitkan penjawat awam, kelewatan atau tiada tindakan terhadap sesuatu permohonan di jabatan dan agensi.

Bagaimanapun katanya, JONP tidak boleh bertindak ke atas aduan salah laku jenayah rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan berkaitan, jika ia telah dirujuk kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), SPRM, Jawatankuasa Kira-Kira (PAC) negeri, mahkamah, MMK negeri, Lembaga Rayuan negeri yang diurusetiakan oleh PLANMalaysia@Pahang dan Biro Pengaduan Awam (BPA).

"Dengan pewujudan JONP diharapkan sistem penyampaian perkhidmatan awam di negeri ini dapat dilaksanakan dengan lebih berintegriti dan berkesan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 September 2021 @ 5:08 PM