Khaw Kok Chin (kanan).
Khaw Kok Chin (kanan).
BERNAMA

Georgetown: Pegawai dan anggota polis yang terbabit dalam salah laku dan isu integriti seperti rasuah dan dadah akan ditahan kerja walaupun belum dituduh di mahkamah.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Khaw Kok Chin berkata ia adalah arahan Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Razarudin ketika Mesyuarat Ketua Polis Negara pada 5 Oktober lalu.

"Tan Sri IGP (KPN) (Razarudin) dan Datuk Seri Timbalan Ketua Polis Negara (Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay) memaklumkan tidak akan bertolak ansur terhadap pegawai kanan dan anggota polis yang terlibat dalam salah laku seperti kejadian jenayah dan dadah.

"Memandangkan isu integriti, salah guna kuasa dan rasuah dalam kalangan pegawai dan anggota polis masih lagi berleluasa, kepimpinan tertinggi PDRM telah bersetuju untuk mana-mana pegawai yang terlibat dengan integriti seperti rasuah dan dadah akan ditahan kerja walaupun kes belum dituduh," katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kontinjen Pulau Pinang dan Amanat Ketua Polis Pulau Pinang Bagi Bulan Oktober, di sini hari ini.

Beliau berkata kesemua pegawai polis yang memegang jawatan sebagai penyelia bermula daripada pucuk pimpinan hingga ke bawah, akan dipertanggungjawabkan sekiranya gagal untuk melaksanakan Peraturan C iaitu Peraturan-Peraturan Pegawai Awam Kelakuan Tatatertib 1993.

Khaw berkata semua pihak dalam kontinjen Pulau Pinang juga perlu konsisten, berani dan tegas dalam menguatkuasakan peraturan 3C bagi memastikan dapat membuat perubahan yang berkesan ke atas isu integriti dan salah laku dalam PDRM.

Sementara itu, beliau berkata negara berada dalam fasa peralihan monsun yang akan membawa hujan lebat dan pasukan PDRM hendaklah membuat persediaan sekiranya berlaku bencana banjir.

"Oleh itu, semua Ketua Polis Daerah, Ketua Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam dan Ketua Polis Balai perlu mengenal pasti setiap keperluan dan menentukan kawasan hotspot yang terlibat dengan banjir.

"Mereka juga hendaklah membuat persiapan awal dari segi kekuatan anggota, kelengkapan aset logistik seperti bot, peralatan menyelamat dan juga pusat pemindahan sementara (PPS)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Oktober 2023 @ 5:25 PM