WAN Ramli (dua dari kanan) bersama 850 kakitangan MPAJ membaca  Ikrar Bebas Rasuah, semalam.
WAN Ramli (dua dari kanan) bersama 850 kakitangan MPAJ membaca Ikrar Bebas Rasuah, semalam.
Siti Fatimah Nasir


Ampang: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), akan mempertingkatkan aspek kawalan dengan melaksanakan kaedah pertukaran kakitangan dan pegawai sebagai langkah menyahut serta merealisasikan objektif Ikrar Bebas Rasuah (IBR).

Yang Dipertuanya, Abdul Hamid Hussain berkata, sebelum IBR dilaksana, MPAJ melaksanakan kawalan berbentuk ikrar integriti korporat, penubuhan unit integriti, kawalan audit dalaman dan audit kawalan perolehan yang dijalankan Audit Negeri Selangor.

“Selepas penubuhan unit integriti pada tahun 2016 dan 2017, empat kakitangan MPAJ diambil tindakan buang kerja, manakala 15 kakitangan dikenakan hukuman tatatertib oleh Jawatankuasa Tatatertib MPAJ.

“Berdasarkan kes terbaru, dua kakitangan MPAJ ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana didapati menyalahgunakan kuasa yang diberi,” katanya ketika ditemui pada Majlis Ikrar Bebas Rasuah Peringkat MPAJ di sini, semalam.

Abdul Hamid berkata, dengan tangkapan dan tahanan berkenaan diharap dapat memberi peringatan kepada kakitangan yang melakukan rasuah supaya mengambil iktibar untuk tidak meneruskan perbuatan itu.

“Dalam perkara ini, kita kadangkala tidak dapat menyemak 100 peratus perbuatan yang dilakukan mereka kerana memberi sepenuh kepercayaan kepada kakitangan bawahan untuk memikul tugas serta tanggungjawab diberi.

“Kita akan pastikan kakitangan mengikut peraturan dan prosedur ditetapkan dengan mempergiatkan pemantauan serta kawalan seperti ISO, audit bagi membendung mereka daripada melakukan amalan rasuah serta salah guna kuasa,” katanya.

Hadir sama, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Wan Ramli Wan Abdullah, Timbalan Ketua Unit Pendidikan Masyarakat SPRM, Sumathi Padavadah, Timbalan Yang Dipertua MPAJ, Hasrolnizam Shaari dan Unit Integriti Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor.

Sementara itu, Wan Ramli berkata, kes rasuah dan penyalahgunaan kuasa membabitkan PBT di Selangor masih berada dalam keadaan terkawal.

“Setakat ini, enam PBT di Selangor sudah menandatangani IBR bersama SPRM di mana baki lima lagi PBT diharap dapat melakukan ikrar berkenaan sebelum hujung tahun ini.

“Selain itu, organisasi di negeri Selangor mencatatkan jumlah tertinggi sudah melafazkan ikrar IBR berbanding negeri lain,” katanya.

Mengulas lanjut, SPRM masih belum mendapat kata putus daripada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk menandatangani IBR.

“Kita sudah menerima reaksi positif daripada kerajaan negeri Selangor. Hanya tunggu maklum balas daripada Menteri Besar dalam menandatangani IBR yang dijangka dilakukan selewatlewatnya hujung tahun ini,” katanya.

Pada majlis itu, seramai 850 kakitangan MPAJ diketuai Yang Dipertuanya melafazkan IBR dengan disaksikan Wan Ramli.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 November 2017 @ 9:06 AM