KAKITANGAN PPSPM pada Program Ikrar Tolak Rasuah, baru-baru ini. Gambar kecil, Murad. FOTO NAZRI ABU BAKAR
KAKITANGAN PPSPM pada Program Ikrar Tolak Rasuah, baru-baru ini. Gambar kecil, Murad. FOTO NAZRI ABU BAKAR
Nazri Abu Bakar


Melaka: Warga Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) menolak sekeras-kerasnya amalan rasuah dan tidak akan berkompromi serta melindungi mana-mana kakitangan melakukan salah laku rasuah, penyelewengan, salah laku guna kuasa dan salah laku integriti tanpa mengira peringkat dan jawatan.

Ketua Pegawai Eksekutif PPSPM, Datuk Murad Husin berkata, penerapan, penghayatan dan pengamalan nilai murni serta bersih daripada gejala rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa sentiasa diperkukuhkan dan menjadi amalan berterusan dalam kalangan warga PPSPM.

Beliau berkata, agensi berkenaan sentiasa menyokong penuh program Ikrar Bebas Rasuah (IBR) yang dilihat antara inisiatif kerajaan dalam membudayakan program integriti.

"Pembudayaan etika dan integriti mestilah pada setiap masa diterjemahkan dalam semua aspek pelaksanaan tugas dan tanggungjawab di perbadanan ini.

"Usaha membanteras rasuah bukan tugas eksklusif Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semata-mata, sebaliknya amanah perlu dijalankan semua pihak," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sehubungan itu, Murad amat mengalu-alukan warga PPSPM melaporkan terus kepada SPRM sekiranya melihat atau mempunyai bukti berhubung salah guna kuasa atau sebarang bentuk jenayah rasuah.

Beliau berkata, saluran aduan secara dalam talian boleh dicapai di platform laman sesawang PPSPM di www.ppspm.gov.my atau emel [email protected].

Katanya, PPSPM dengan bantuan SPRM dan Unit Integriti, Jabatan Ketua Menteri Melaka beriltizam kuat dan mahu membina budaya anti rasuah di PPSPM bagi memantap dan mempertingkatkan nilai murni dan integriti perkhidmatan awam.

"PPSPM turut menganjurkan Program IBR di Dataran Pengkalan Rama, River Information Centre (RIC), di sini, baru-baru ini.

"Seluruh warga PPSPM diwajibkan untuk bersama-sama melaksanakan IBR, sekali gus menzahirkan komitmen terhadap tanggungjawab dalam menolak sebarang bentuk jenayah rasuah dan salah guna kuasa.

"Pelaksanaan IBR ini antara jaminan dan penzahiran kepemimpinan PPSPM kepada warganya dan pelanggan untuk mencegah dan membanteras jenayah terbabit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Disember 2020 @ 4:38 PM