DATUK Seri Hajiji Noor (tengah) menerima cenderahati daripada Datuk Sr. Safar Untong (kiri) pada Majlis Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA) Tahun 2021 Peringkat Negeri Sabah. FOTO Mohd Adam Arinin
DATUK Seri Hajiji Noor (tengah) menerima cenderahati daripada Datuk Sr. Safar Untong (kiri) pada Majlis Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA) Tahun 2021 Peringkat Negeri Sabah. FOTO Mohd Adam Arinin
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Kes rasuah membabitkan penjawat awam negeri turun 87 peratus dalam tempoh empat tahun kebelakangan ini berikutan usaha bersepadu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan kerajaan negeri membanteras gejala itu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata penurunan ketara itu memperlihatkan tahap kesedaran penjawat awam terhadap kesalahan rasuah dan tanggungjawab bersama memerangi jenayah berkenaan yang semakin meningkat.

"Statistik SPRM menunjukkan sebanyak 47 kertas siasatan dibuka pada 2018 yang kemudiannya menurun kepada 11 kes pada 2019, sembilan kes pada 2020 dan sehingga Ogos tahun ini hanya enam kes disiasat.

"Ia turut mencerminkan kesungguhan dan kesediaan rakyat Sabah bersama SPRM dalam usaha membanteras rasuah di negeri ini," katanya dalam ucapan beliau sempena Hari Anti Rasuah Antarabangsa peringkat negeri di Menara Kinabalu, hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Joachim Gunsalam; Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong; Setiausaha Persekutuan Negeri Sabah, Datuk Dr Zulkapli Mohamed; Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam negeri, Datuk Rosmadi Sulai dan Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy.

Hajiji yang juga Menteri Kewangan negeri, berkata kerajaan negeri mengambil langkah mewajibkan sektor awam mewujudkan Pelan Anti Rasuah Organisasi (OACP) untuk memastikan tahap integriti tinggi dalam kalangan penjawat awam dan menangani gejala rasuah.

Beliau turut menggesa semua kementerian negeri ini memberikan komitmen dalam mewujudkan OACP dengan sembilan daripada 11 kementerian sudah melaksanakannya setakat ini.

Katanya, bagi syarikat berkaitan kerajaan negeri Sabah (GLC), pelaksanaan pelan itu adalah satu inisiatif dalam mempersiapkan organisasi komersial kerajaan supaya mempunyai tatacara mencukupi selaras dengan peruntukan Seksyen 17A Akta SPRM 2009.

Sementara itu, beliau berkata selain memantapkan lagi tadbir urus dan integriti, pelaksanaan OACP juga dapat meningkatkan keyakinan rakyat terhadap sistem penyampaian pentadbiran kerajaan negeri.

"Saya percaya jabatan dan agensi kerajaan negeri di bawah pimpinan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah memberikan komitmen yang tinggi dan berusaha melestarikan integriti secara menyeluruh khususnya kepada seluruh warga perkhidmatan awam di negeri ini untuk bersama-sama melakukan perubahan dengan menyedarkan masyarakat keseluruhannya bahawa perbuatan memberi rasuah adalah suatu kesalahan yang amat serius," katanya.

Hajiji menggesa masyarakat juga memberi sokongan dan kerjasama dengan melaporkan kesalahan seperti salah guna kuasa dan rasuah di kawasan mereka kepada SPRM.

"Mereka yang memberi maklumat penting kepada SPRM akan dilindungi di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Disember 2021 @ 12:13 PM