BERNAMA

Kuantan: Kerajaan Pahang memperoleh hasil RM52 juta daripada 40 syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri tahun ini, susulan kejayaan menangani isu ketirisan dan kebocoran hasil yang berlaku.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, jumlah itu dilihat meningkatkan daripada RM20 juta pada tahun sebelumnya, dan RM12 juta pada 2019.

Beliau berkata, perkembangan itu menunjukkan bahawa GLC boleh menyumbang kepada kerajaan negeri yang banyak membantu, termasuk memberikan tanah kepada mereka untuk berniaga, dan jika ia diuruskan dengan baik, tiada ketirisan dan kebocoran, boleh memberi sumbangan kepada kerajaan negeri.

"Sumbangan ini boleh digunakan untuk membantu rakyat seperti yang berlaku ketika pandemik Covid-19 (memuncak)," katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Penyampaian Anugerah Integriti, Governans dan Anti Rasuah (AIGA) 2020 Pahang yang turut dihadiri Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali di Kompleks Yayasan Pahang di sini hari ini.

Katanya, setakat ini semua GLC Pahang berada di landasan baik, dengan tiada satu pun disenaraikan sebagai 'bendera merah' dalam aspek ketirisan, namun penambahbaikan sentiasa perlu dilakukan bagi membendung peluang rasuah yang mungkin berpunca daripada kelemahan sistem.

Menceritakan pengalamannya, Wan Rosdy berkata sebelum ini beliau pernah mengarahkan forensik audit dilakukan terhadap sebuah GLC kerana setiap tahun mencatatkan kerugian berpuluh juta ringgit, sedangkan aktiviti perniagaan berjalan.

"Bila disiasat, ada yang meletak jawatan. Ini merugikan kerajaan negeri dari segi kutipan hasil dan rakyat secara umumnya... sedangkan pembahagian hasil hanya berlaku dalam kalangan mereka yang terbabit. Ini yang perlu diperbaiki kerana setiap individu seharusnya mempunyai nilai integiriti sendiri," katanya.

Sementara itu Mohd Zuki dalam ucapannya berkata penganjuran AIGA 2020 yang julung kali dilakukan di Pahang sebagai projek rintis, akan dicadangkan untuk diketengahkan ke peringkat kebangsaan bagi menjadi penanda aras kepada kejayaan Malaysia dalam meningkatkan tahap integriti, tadbir urus dan anti rasuah terutamanya dalam sektor awam.

Menurutnya, usaha itu dilihat dapat membantu negara memperbaiki kedudukan dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) pada masa akan datang, dan untuk rekod, kedudukan Malaysia di CPI Transparency International (TI) 2020 jatuh ke tangga 57, berbanding 51 pada tahun sebelumnya.

"AIGA 2020 juga akan mewujudkan persaingan sihat bagi sektor swasta dan awam dalam usaha mewujudkan mekanisme terbaik bagi membudayakan integriti, governans dan anti rasuah dalam organisasi.

AIGA 2020 membabitkan penyertaan 41 organisasi di Pahang dengan 11 daripadanya menerima anugerah emas didahului Majlis Daerah Cameron Highlands, Pahang Skills Development Centre dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Pahang manakala 14 lagi menerima anugerah perak dan lapan anugerah gangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Oktober 2021 @ 4:21 PM
WAN Rosdy (dua,kiri) menyampaikan Anugerah Emas kepada Majlis Daerah Cameron Highlands yang diterima pemangku Yang Dipertuanya Mazlan Mohamed Isa (dua, kanan) pada Majlis Penyampaian Anugerah Integriti, Governans Dan Anti Rasuah (AIGA 2020) Peringkat Negeri Pahang di Dewan Utama Kompleks Yayasan Pahang. FOTO BERNAMA
WAN Rosdy (dua,kiri) menyampaikan Anugerah Emas kepada Majlis Daerah Cameron Highlands yang diterima pemangku Yang Dipertuanya Mazlan Mohamed Isa (dua, kanan) pada Majlis Penyampaian Anugerah Integriti, Governans Dan Anti Rasuah (AIGA 2020) Peringkat Negeri Pahang di Dewan Utama Kompleks Yayasan Pahang. FOTO BERNAMA