KHAIRY Jamaluddin (tengah) melihat proses pendaftaran penerimaan vaksin penduduk yang tidak mempunyai dokumen sewaktu melawat aktivi outreach pemberian vaksin kepada penduduk di Pulau Larapan. FOTO BERNAMA
KHAIRY Jamaluddin (tengah) melihat proses pendaftaran penerimaan vaksin penduduk yang tidak mempunyai dokumen sewaktu melawat aktivi outreach pemberian vaksin kepada penduduk di Pulau Larapan. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Semporna: Sebanyak 99 peratus kes Covid-19 di Sarawak merupakan pesakit yang berada dalam kategori satu dan dua, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Beliau mengulas mengenai situasi Sarawak yang semalam mencatat kes baharu Covid-19 tertinggi dengan 3,714 kes, manakala kadar vaksinasi di negeri itu sudah mencapai 80 peratus.

"Hanya empat pesakit berada di kategori tiga, empat dan lima, (kes di Sarawak) ini menunjukkan kita dalam fasa melaksanakan peralihan kepada endemik.

"Seolah kita hidup dengan virus ini, masih lagi ada jangkitan tetapi kesannnya tidak teruk sangat dengan batuk dan demam ringan sahaja," katanya kepada pemberita selepas meninjau program outreach suntikan vaksin Covid-19 kepada penduduk di Pulau Larapan dekat sini, hari ini.

Dalam pada itu, Khairy memuji kesedaran kepentingan vaksinasi Covid-19 dalam kalangan penduduk di kawasan pulau dan pedalaman di Sabah yang menurutnya berada pada tahap tinggi pada masa ini.

Beliau berkata, ini dapat dilihat dengan sambutan amat menggalakkan terhadap program outreach suntikan vaksin Covid-19 di pusat pemberian vaksin (PPV) sementara di dewan terbuka Sekolah Kebangsaan Pulau Larapan di sini, hari ini yang menyediakan 1,000 dos vaksin jenis dos tunggal CanSino.

"Bukan sahaja penduduk pulau ini datang mendapatkan suntikan vaksin tetapi penduduk dari pulau berdekatan. Komunikasi untuk tingkat kesedaran semakin baik dan penduduk tahu mengenai vaksinasi ini melalui ketua kampung, dan penduduk ini sedar vaksinasi itu untuk kesihatan.

"Semporna menerima 26,000 dos vaksin CanSino dan setakat ini 3,000 sudah digunakan," katanya sambil memberitahu Sabah akan terus diberi keutamaan untuk tambahan bekalan vaksin CanSino yang mudah digunakan di lapangan kerana ia hanya memerlukan satu dos.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 September 2021 @ 3:45 PM