ANGGOTA CMVT ATM menggunakan bot untuk ke lokasi pemberian vaksin di pedalaman Sarawak. FOTO Melvin Joni.
ANGGOTA CMVT ATM menggunakan bot untuk ke lokasi pemberian vaksin di pedalaman Sarawak. FOTO Melvin Joni.
Melvin Joni


Kapit: Meskipun berdepan cabaran menelusuri sungai dan perjalanan jauh sehingga lapan jam, namun Pasukan Vaksinasi Perubatan Kombat Angkatan Tentera Malaysia (CMVT ATM) tetap bersemangat untuk memberikan suntik dos kedua kepada penduduk di dua kawasan terpencil di Belaga, di sini.

Jurucakap Sel Perhubungan Raya Markas 1 Divisyen berkata, program vaksinasi membabitkan kawasan Long Busang dan Sang Anau itu dilaksanakan selama tiga hari bermula 22 hingga 25 Julai lalu.

"CMVT ATM yang terdiri daripada empat Pegawai Perubatan dan 16 paramedik tetap bersemangat meskipun berdepan cabaran merentasi perjalanan hampir lapan jam menggunakan kenderaan pikap dari Kapit ke Long Busang.

"Selain itu, tambahan empat jam perjalanan lagi menggunakan bot dari Long Busang ke Sang Anau," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, program vaksinasi dos pertama di Long Busang dan Sang Anau dijalankan pada 2 hingga 4 Julai lalu manakala bagi suntikan dos kedua, seramai 609 penduduk di Long Busang dan 67 penduduk di Sang Anau sudah menerimanya.

Dalam pada itu, katanya CMVT ATM sebelum ini juga sudah menyuntik vaksin kepada 151 penduduk di Long Unai dengan dos pertama vaksin Sinovac.

Pasukan CMVT ATM mula diaturgerakkan untuk proses vaksinasi di pedalaman Sarawak pada 21 Jun lalu dan setakat ini sudah mencatatkan 6,801 suntikan terdiri daripada 3,659 dos pertama dan 3,142 dos kedua.

Beliau berkata, pasukan ini akan melaksanakan pemberian vaksin dos kedua di Nanga Jagau, Kanowit pada 31 Julai ini dan di Pasai Siong, Sibu pada 3 hingga 5 Ogos nanti.

"CMVT ATM juga bersedia membantu proses vaksinasi penduduk pedalaman Sarawak di lokasi yang lain sekiranya diperlukan.

"Kerjasama formasi 1 Divisyen bersama-sama Kerajaan Sarawak melaksanakan pemberian vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Outreach ini membantu mempercepatkan proses vaksinasi di kawasan pedalaman sekali gus membantu menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Negeri Sarawak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Julai 2021 @ 1:57 PM