ROSMIN Ambil menjadi individu pertama menerima vaksin dos tunggal CanSino di Sabah. FOTO Ihsan Facebook Fairuz Renddan
ROSMIN Ambil menjadi individu pertama menerima vaksin dos tunggal CanSino di Sabah. FOTO Ihsan Facebook Fairuz Renddan
Izwan Abdullah

Kota Kinabalu: Ketua Kampung Pulau Mantanani, Kota Belud, Rosmin Ambil menjadi individu pertama menerima vaksin Covid-19 dos tunggal CanSino di Sabah.

Perkara itu dimaklumkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pintasan, Fairuz Renddan yang menyaksikan program jangkauan luar pemberian vaksin Covid-19 di pulau berkenaan, semalam.

Katanya, penduduk Pulau Mantanani adalah penerima terawal vaksin CanSino di Sabah selepas vaksin berkenaan tiba di negeri ini bermula kelmarin.

"Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya, program pemberian vaksin di Mizume, Pulau Mantanani berjalan dengan lancar.

"Ketua Kampung Pulau Mantanani, Haji Rosmin Ambil adalah orang pertama di Sabah disuntik dengan vaksin CanSino," katanya dalam perkongsian mengenai program vaksinasi di pulau berkenaan di Facebook beliau, semalam.

Seramai 650 penduduk Pulau Mantanani menerima suntikan vaksin CanSino pada program itu yang dilaksanakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan kerjasama pelbagai agensi berkaitan.

Fairuz berkata pemberian vaksin jenis CanSino memang sangat sesuai diberikan kepada penduduk di kawasan terpencil seperti di Pulau Mantanani memandangkan ia tidak memerlukan suntikan dos susulan.

"Saya yakin dengan adanya vaksin CanSino yang hanya memerlukan satu dos suntikan, usaha untuk memvaksin penduduk di kawasan pedalaman dan agak susah untuk dicapai dengan jaringan pengangkutan dan jarak untuk akan lebih mudah direalisasikan.

"Sebagai wakil rakyat di kawasan ini, saya berbangga kerana rakyat di sini menjadi penerima terawal suntikan vaksinasi CanSino dan semoga usaha kita untuk mencapai perlindungan imunisasi kelompok dapat dicapai segera," katanya.

Katanya, vaksin Covid-19 sudah terbukti dapat membantu dalam usaha untuk mengurangkan risiko dan komplikasi dialami pesakit yang disahkan positif virus berkenaan.

Kelmarin, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mengumumkan penghantaran sebanyak 180,000 dos vaksin CanSino ke negeri ini, bermula dengan 53,000 dos yang tiba pada Selasa lalu.

Sebelum ini, Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor memohon 1.8 juta dos vaksin berkenaan untuk dihantar ke negeri ini dan meminta supaya Sabah diberi keutamaan bekalan vaksin CanSino dalam usaha mempercepatkan pencapaian imuniti kelompok.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Ogos 2021 @ 8:52 AM