Aktiviti melawat inap desa di Kampung Tua, Langkawi.
Aktiviti melawat inap desa di Kampung Tua, Langkawi.
Oleh Hamzah Osman


Langkawi: Pembukaan projek perintis gelembung pelancongan di pulau ini hari ini, turut memberi limpahan rezeki bagi pengusaha inap desa (homestay) selepas hilang pendapatan sejak hampir dua tahun lalu.

Pengerusi Persatuan Homestay Langkawi, Mohtar Shabudin Ismail berkata, pengusaha inap desa di sini menarik nafas lega selepas mula menerima tempahan penginapan dan pakej aktiviti pelancongan.

"Sehingga kini, empat kumpulan pelancong termasuk dari Bentong, Pahang membuat tempahan untuk menginap di inap desa Kampung KEDA Wang Tok Rendong (KKWTR).

"Sama seperti hotel, tempahan penginapan dijangka meningkat sebaik perkhidmatan feri penumpang dari Kuala Kedah ke pulau ini beroperasi semula, Isnin ini," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mohtar berkata, pihaknya turut mengalu-alukan lawatan kerja Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri untuk meninjau siap siaga pengusaha inap desa di KKWTR petang semalam.

"Menteri berpuas hati dengan persiapan dilakukan pengusaha inap desa di KKWTR bagi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Inap desa di situ ditubuhkan pada 2002 dan disertai seramai 68 pengusaha dengan kapasiti 88 bilik yang sesuai dihuni pelanggan individu serta keluarga," katanya.

Beliau berkata, persatuan turut menawarkan pelbagai aktiviti menarik untuk pelancong termasuk pendakian, perkhemahan, memancing dan jejak denai di hutan seluas dua hektar.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 September 2021 @ 4:18 PM