SN Senaini Sabang, menunjukkan vaksin jenis Cansino yang diberikan kepada penduduk di PPV Dewan Sri Tamang, Pulau Sebatik. FOTO Abdul Rahemang Taiming
SN Senaini Sabang, menunjukkan vaksin jenis Cansino yang diberikan kepada penduduk di PPV Dewan Sri Tamang, Pulau Sebatik. FOTO Abdul Rahemang Taiming
Abdul Rahemang Taiming


Tawau: Warga emas yang tinggal di Kepulauan Sebatik di sini, bersyukur menjadi antara individu terawal menerima suntikan vaksin CanSino tanpa perlu ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang terletak di tanah besar.

Rugayah Dullah, 64, berkata, dia gembira hadir ke PPV Dewan Sri Tamang, Kampung Tamang, Pulau Sebatik, hari ini untuk menerima vaksin Covid-19.

"Syukur Alhamdulillah, sebelum ini penduduk yang mendapat janji temu terpaksa menaiki bot untuk ke pusat bandar bagi menerima vaksin, tetapi hari ini kakitangan KKM (Kementerian Kesihatan) sendiri turun padang dan ia menjimatkan masa serta memudahkan penduduk," katanya.

Bagi Sarinah Duruman, 29, dari Kampung Sungai Tongkang yang hamil enam bulan, dia tidak mahu melepaskan peluang mendapatkan suntikan vaksin secara jumpa terus di PPV berkenaan.

"Saya sudah mendaftar melalui aplikasi MySejahtera sejak Jun lalu, namun masih belum mendapat tarikh janji temu.

"Sebaik dimaklumkan mengenai program ini, saya tidak berlengah lagi dan terus hadir. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar," katanya.

Sementara itu, Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Tawau, Dr Nurshazrah Najwa Zaini berkata, setakat semalam, 851 dos vaksin CanSino telah diberikan kepada penduduk Kampung Sungai Pukul (281), Bergosong (369) dan Serudong Laut (201).

Katanya, pihaknya menyasarkan 1,000 dos vaksin tunggal itu diberikan kepada penduduk dan berharap prosesnya berjalan lancar.

Selain vaksin CanSino, KKM turut menyediakan vaksin Pfizer untuk golongan ibu mengandung.

Selasa lalu, Pengarah Kesihatan Sabah, Dr Rose Nani Mudin dilaporkan berkata, kumpulan pertama vaksin CanSino sebanyak 53,000 dos telah diterima dan menjangkakan kumpulan berikutnya diperoleh secara berperingkat mulai bulan ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Ogos 2021 @ 3:10 PM