GAMBAR fail,  sekadar hiasan. FOTO NSTP
GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
Noor Atiqah Sulaiman


Putrajaya: Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) menetapkan bermula esok hanya 13 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Lembah Klang akan menerima individu untuk mendapatkan suntikan vaksin secara terus tanpa janji temu atau walk-in.

CITF dalam kenyataannya berkata, langkah itu diambil berikutan pihaknya mendapati kadar kehadiran warganegara Malaysia di PPV untuk pemberian vaksin secara terus itu semakin berkurangan.

"Oleh itu, walk-in untuk semua warganegara Malaysia di Lembah Klang akan diteruskan tetapi di 13 PPV tertentu," katanya, hari ini.

PPV yang terpilih bagi melaksanakan vaksinasi itu bermula esok ialah Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) HCO F, HCO G dan HCO H; Pusat Konvensyen Bangi Avenue (BACC), Axiata Arena Bukit Jalil, Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam dan Hotel Wyndham, Klang.

Selain itu, PPV Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Dewan Seri Bernam di Sabak Bernam, Stadium Tertutup Kuala Selangor dan Dewan Kompleks Sukan Majlis Perbandaran Kuala Langat.

Terdapat empat lagi PPV secara terus tanpa janji temu yang bermula Rabu dan Khamis depan iaitu PPV Le Pavilion Gamuda Garden di Gombak, Bukit Beruntung Golf Resort manakala hari Khamis pula ialah di PPV Galaxy Mall Ampang serta di Universiti Multimedia, Cyberjaya.

Sementara itu, CITF memaklumkan bagi warga asing di Lembah Klang pula, kaedah vaksinasi secara terus untuk mereka dikhususkan di PPV Stadium Nasional Bukit Jalil (PPV SNBJ) yang akan dilaksanakan sehingga hari ini sahaja.

"Kaedah walk-in bagi warga asing akan digantikan dengan vaksinasi melalui kaedah janji temu. Ini bermakna, PPV SNBJ tidak lagi menerima walk-in bukan warganegara bermula esok.

"Langkah ini diambil supaya proses vaksinasi warga asing yang menyaksikan sambutan amat baik selama tempoh ia dilaksanakan dapat berjalan dalam keadaan yang lebih selamat dan selesa.

"Setiap warganegara dan warga asing yang pergi ke PPV mengikut janji temu perlu membuktikan bahawa mereka adalah pemastautin di Lembah Klang, dengan membawa surat atau dokumen yang berkenaan seperti kad kerja, bil utiliti atau sebarang dokumen lain yang berkaitan," katanya.

Berikutan itu, warga asing yang masih belum mendaftar untuk Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick) perlu berbuat demikian sama ada melalui MySejahtera, talian Pick di 1800-888-828 atau laman web www.vaksincovid.gov.my supaya janji temu dapat diberikan.

CITF menjelaskan langkah berkenaan hanya untuk penduduk Lembah Klang dan bagi penduduk di negeri lain program vaksinasi secara terus tetap diteruskan seperti biasa dan bergantung kepada negeri masing-masing.

Dalam pada itu, katanya, bagi individu yang terlepas suntikan dos kedua boleh pergi ke mana-mana PPV yang disenaraikan yang berhampiran dengan kediaman.

"Sekiranya PPV berkenaan tidak menawarkan vaksin dari jenis yang sama dengan dos pertama, mereka akan dirujuk ke PPV yang lain.

"Walk-in juga adalah berdasarkan kaedah first come first serve (mendahulukan siapa yang cepat) bergantung kepada kapasiti bekalan di PPV berkenaan iaitu individu walk-in akan diletakkan di bawah satu senarai untuk diminta hadir semula pada keesokan harinya sekiranya bekalan vaksin pada hari itu sudah habis digunakan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Ogos 2021 @ 10:32 AM