AHMAD Zahid, gambar fail. FOTO NSTP
AHMAD Zahid, gambar fail. FOTO NSTP
Suzalina Halid
suzalina@bh.com.my


Kuala Lumpur: Umno tidak boleh mempertimbang tawaran Tan Sri Muhyiddin Yassin yang didakwa sudah tiada keabsahan sebagai Perdana Menteri selepas mengaku secara terbuka, sudah tidak lagi mempunyai sokongan majoriti Ahli Parlimen.

Presidennya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata tawaran itu juga didakwa bersifat sogokan terbuka dan terdesak, hanya untuk memanjangkan hayat politik Muhyiddin.

Beliau berkata, sebagai Ahli Parlimen yang berpegang kepada sumpah jawatan untuk memelihara, melindungi dan mempertahan Perlembagaan, Muhyiddin juga tidak wajar merampas kuasa Yang di-Pertuan Agong, dalam menentukan urusan pelantikan Perdana Menteri.

"Umno mengucapkan penghargaan atas pengakuan YB (Yang Berhormat) Pagoh yang akhirnya secara terbuka bahawa beliau sudah tidak lagi mempunyai sokongan majoriti Ahli Parlimen.

"Dengan pengakuan ini, maka YB Pagoh sudah tiada lagi keabsahan untuk menjalankan tugas-tugas selaku Perdana Menteri yang sah sebagaimana Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan.

"Sehubungan itu, Umno tidak boleh mempertimbang segala tawaran daripada seorang yang sudah tiada keabsahan," katanya melalui kenyataan, di sini, hari ini.

Dalam ucapan khas Perdana Menteri bersama memulihkan negara, hari ini, Muhyiddin mengumumkan pelbagai perkara dalam menambah baik pentadbiran kerajaan, termasuk cadangan kerjasama bipartisan dengan jemputan rasmi akan dihantar kepada semua pimpinan parti politik, minggu depan.

Selain itu, Perdana Menteri turut mengumumkan untuk mengehadkan jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal dan Pilihan Raya Umum (PRU) akan diadakan selewat-lewatnya Julai tahun depan.

Pada masa sama, Ahmad Zahid berkata, Umno turut menasihatkan rakyat supaya dapat bertenang sehingga Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, melaksanakan tugas dan tanggungjawab Perlembagaan baginda mengikut Perkara 40(2) untuk melantik seorang Perdana Menteri baharu dalam kalangan Ahli Dewan Rakyat.

Beliau berkata, Umno turut merakamkan penghargaan kepada 15 Ahli Parlimennya yang setia dan istiqomah mempertahan pendirian parti untuk terus membela institusi raja-raja Melayu dan Perlembagaan Persekutuan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Ogos 2021 @ 12:08 AM