Tan Sri Muhyiddin Yassin
Tan Sri Muhyiddin Yassin
BERNAMA

Kuala Lumpur: Keabsahan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri dan Perikatan Nasional (PN) sebagai badan pentadbiran kerajaan tidak boleh dipersoalkan, sehingga Ahli Parlimen memuktamadkan undi mereka terhadap usul undi percaya kepada Perdana Menteri pada sesi Parlimen, bulan depan.

Bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram berkata, sebarang kenyataan menyatakan sokongan atau sebaliknya terhadap seseorang pemimpin politik perlu dilakukan di Parlimen.

"Sebarang kenyataan (di luar Parlimen) tidak ada kesan dalam Perlembagaan Persekutuan. Dewan Rakyat adalah tempat sebetulnya bagi menguji usul.

"Walau 30 atau 40 orang membuat kenyataan di luar Dewan, ia tidak mengubah apa-apa," katanya sambil menambah deklarasi statutori bagi menarik balik sokongan kepada Perdana Menteri tidak bermakna, kerana kerajaan semasa masih berkuasa.

Beliau ditanya mengenai kemelut politik semasa, susulan pengumuman Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, baru-baru ini yang menarik balik sokongan terhadap Muhyiddin dan kerajaan PN.

"Pembangkang mungkin memilih untuk mengekalkan kerajaan semasa kerana mereka tidak mahu diadakan pilihan raya. Jadi, apa yang berlaku di Dewan Rakyat, itulah yang menentukan secara muktamad sama ada kerajaan masih mendapat sokongan atau sebaliknya. Itu saja," katanya.

Sementara itu, peguam, Shahir Ab Razak berkata, sekiranya terdapat undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, ia perlu melalui proses mengundi di Parlimen dan bukan dengan membuat kenyataan di luar Dewan Rakyat.

"Medium sesuai untuk menyatakan sokongan kepada pemimpin adalah di Parlimen. Selagi undi tidak percaya terhadap Tan Sri Muhyiddin tidak didengar, dibahas dan diundi di Parlimen, Tan Sri Muhyiddin akan kekal sebagai Perdana Menteri.

"Kalau ikut kata Presiden Umno, ada yang tidak menyokong Muhyiddin, tetapi bukan semua, hanya segelintir sahaja. Jika pergi ke Parlimen, kita boleh dapat tahu jumlah sebenar yang sokong dan siapa yang tidak sokong.

"Muhyiddin akan kekal sebagai Perdana Menteri walaupun Umno menarik balik sokongan terhadapnya," katanya.

Menurut Shahir, Perkara 43 (4) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, Perdana Menteri hendaklah meletak jawatan melainkan jika atas permintaannya Parlimen dibubarkan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Katanya, tindakan Muhyiddin mengumumkan pembentangan usul undi percaya terhadap beliau pada sidang Parlimen bulan depan adalah wajar kerana ia cara muktamad untuk menyelesaikan isu sentiasa menjadi persoalan semua pihak.

"Melalui undi di Parlimen itu nanti, kita dapat menentukan sama ada Perdana Menteri masih mempunyai kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat atau sebaliknya," kata peguam itu.

Felo Kanan Majlis Profesor Negara (MPN), Dr Jeniri Amir berkata, tindakan Muhyiddin itu dialu-alukan kerana ia bukan sahaja selari dengan tuntutan Perlembagaan dan undang-undang negara, tetapi bersesuaian dengan tuntutan semua pihak.

"Apabila Perdana Menteri merafak sembah kepada Yang di-Pertuan Agong dan mengeluarkan kenyataan bahawa beliau masih mendapat sokongan daripada Ahli Parlimen, ini bermaksud beliau sudah mempunyai bukti meyakinkan.

"Kenyataan itu dibuat berdasarkan bukti sahih dan bukan dakwaan. Kini Muhyiddin perlu membuktikan beliau mempunyai sokongan dalam kalangan Ahli Parlimen dan proses Parlimen dapat menentukan sokongan itu," katanya.

Beliau berkata, hanya undi usul percaya itu dapat memberi kelegaan dan keyakinan kepada rakyat bahawa krisis ketidaktentuan politik yang berlaku sekarang dapat diredakan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Ogos 2021 @ 3:13 PM