AHMAD Zahid. FOTO arkib NSTP
AHMAD Zahid. FOTO arkib NSTP
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Umno meminta Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Takiyuddin Hassan meletakkan jawatan secara terhormat.

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Umno kesal dengan tindakan kerajaan pimpinan Muhyiddin yang mengingkari titah Yang di-Pertuan Agong yang mahu semua Ordinan Darurat dibahaskan dan diungkaikan di Parlimen seiring dengan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan.

"Lebih mendukacitakan apabila Tuanku sendiri mendedahkan pembatalan Ordinan Darurat sebagaimana yang diumumkan Menteri Undang-Undang pada Isnin lalu di Parlimen amat mengelirukan kerana hakikatnya belum lagi mendapat perkenan baginda.

"Tindakan ini jelas adalah satu bentuk penderhakaan kepada Yang di-Pertuan Agong, bahkan membelakangi prinsip Perlembagaan Persekutuan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, Ahli Parlimen Umno mesti menzahirkan dan melaksanakan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno pada 7 Julai lalu untuk menarik sokongan ke atas Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

"Keputusan ini bagi memenuhi sumpah jawatan selaku Ahli Parlimen yang wajib menumpahkan taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong dan memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan pada setiap masa.

"Pendirian ini juga seiring dengan asas dan matlamat penubuhan Umno untuk sentiasa memelihara dan membela Institusi Raja-Raja Melayu sebagaimana termaktub dalam Fasal 3 Perlembagaan Umno," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Julai 2021 @ 5:26 PM