Mohamed Farid Noh

Pagoh: Tan Sri Muhyiddin Yassin bersedia menghadapi apa saja kemungkinan pada Sidang Parlimen September ini, kerana yakin masih memiliki bilangan majoriti sokongan daripada Ahli Parlimen.

Perdana Menteri berkata, beliau tidak takut untuk berdepan usul undi percaya kepada Perdana Menteri berikutan usul itu sudah biasa dilakukan sebelum ini.

Katanya, penentuan bagi membuktikan keabsahan sebagai Perdana Menteri, dibuat pada bulan depan kerana perkara itu dipersetujui dan diperkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, dalam sesi menghadap baru-baru ini.

"Saya yakin sehingga hari ini walaupun ada pengumuman-pengumuman dibuat pihak tertentu yang konon tak menyokong saya, mungkin depan macam itu tapi belakang mungkin lain.

"Ini masalah politik (yang) ramai pihak keliru. Jadi nak selesaikan perkara itu kita bawa ke Parlimen, saya mesti hadapi apa pun kemungkinan (kerana) saya tak takut dan bimbang tapi saya yakin (memiliki majoriti)," katanya selepas Penyampaian Sumbangan Makanan Basah kepada Penghulu Parlimen Pagoh, di sini, hari ini.

Hadir sama, isteri Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman serta Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Kepong, Datuk Dr Sahruddin Jamal.

MUHYIDDIN bersama isteri dan Sahruddin melihat ikan yang disumbangkan pada majlis Sumbangan Makanan Basah kepada Penghulu dan Penyampaian Sumbangan Bakul Prihatin di Kompleks Penghulu Mukim Sungai Raya, Muar. FOTO Nur Aisyah Mazalan
MUHYIDDIN bersama isteri dan Sahruddin melihat ikan yang disumbangkan pada majlis Sumbangan Makanan Basah kepada Penghulu dan Penyampaian Sumbangan Bakul Prihatin di Kompleks Penghulu Mukim Sungai Raya, Muar. FOTO Nur Aisyah Mazalan

Muhyiddin mengulas kenyataan yang mempertikai kedudukan beliau sebagai Perdana Menteri selepas beberapa Ahli Parlimen Umno menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Rabu lalu, Muhyiddin dilaporkan menegaskan bahawa keabsahan beliau sebagai Perdana Menteri serta kedudukan kerajaan PN akan ditentukan menerusi usul undi percaya yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat, September ini.

Dalam pada itu, Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengingatkan dalam suasana negara masih berhadapan Covid-19, sebarang perubahan mungkin boleh menjejaskan usaha kerajaan memerangi pandemik itu.

"Apakah negara boleh menghadapi masalah sebegini dengan apa-apa rombakan (atau) pertukaran dan (mungkin) suasana politik yang nanti kalut.

"Saya tidak kata saya ramal begitu, (tetapi) mungkin boleh menjejaskan Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan langkah-langkah yang sedang diambil seperti proses vaksinasi dan sebagainya," katanya.

Muhyiddin berkata, beliau menyerahkan kebijaksanaan dan budi bicara kepada Ahli Parlimen untuk membuat pertimbangan yang sewajarnya pada Sidang Parlimen nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Ogos 2021 @ 12:51 PM