Anggota Bomba melakukan proses sanitasi susulan kes positif Covid 19 di dalam Dewan Rakyat pada 29 Julai lalu. FOTO Ihsan Parlimen
Anggota Bomba melakukan proses sanitasi susulan kes positif Covid 19 di dalam Dewan Rakyat pada 29 Julai lalu. FOTO Ihsan Parlimen
Amir Abd Hamid dan Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Sehingga kini, secara keseluruhannya terdapat 85 kes positif Covid-19 disahkan dengan ujian RT-PCR berkait dengan Sidang Mesyuarat Khas Parlimen yang diadakan pada 26 hingga 29 Julai lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, 56 kes daripadanya dikenal pasti hasil saringan Pra-Dewan Rakyat dan empat kes kontak rapat.

Menurutnya, 17 kes dikesan berkaitan semasa persidangan Dewan Rakyat iaitu sembilan kes sudah dilaporkan sebelum ini dan lima kes baharu dilaporkan di antara 30 Julai sehingga 5 Ogos 2021 serta tiga kes kontak rapat manakala lapan kes menerusi saringan Pra-Dewan Negara.

"Setakat ini, enam sampel yang berkemungkinan besar adalah varian Delta dikesan melalui saringan menggunakan ujian PCR Genotyping Assay.

"Bagi mengesahkan jenis varian ini, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) sedang menjalankan jujukan genom penuh (whole genomic sequencing) dan masih menunggu keputusan akhir," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, daripada lapan kes baharu yang dilaporkan di antara 30 Julai sehingga 5 Ogos 2021 itu perinciannya lima kes mempunyai nilai kitaran ambang (CT value) RT PCR di antara 18.00 sehingga 27.68, dan tiga kes dengan CT value di antara 35.14 sehingga 37.59.

Katanya, empat kes mempunyai gejala ringan manakala yang lain tidak bergejala.

"Tujuh kes positif sudah mendapat vaksin Covid-19 (sekurang-kurangnya mendapat satu dos); satu kes adalah kanak-kanak berusia tujuh tahun (kontak rapat kes) yang belum layak mendapat vaksin.

"Hasil siasatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) setakat ini mendapati bahawa besar kemungkinan perkongsian kemudahan asas seperti tandas dan surau oleh ramai individu sudah memberi risiko kepada penularan jangkitan Covid-19 di Parlimen.

"KKM akan terus memantau status kesihatan semua kes positif Covid-19 ini, kontak rapat dan kes baharu yang lain kerana kemungkinan akan dilaporkan kerana masih dalam tempoh inkubasi," katanya.

Justeru, katanya, adalah dinasihatkan supaya individu yang sudah hadir ke Parlimen untuk terus memantau kesihatan kendiri menggunakan aplikasi MySejahtera.

Beliau, berkata sekiranya bergejala teruslah jalani ujian saringan Covid-19 dan mendapatkan rawatan segera.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Ogos 2021 @ 8:13 PM