KKM mengambil keputusan segera untuk menjalankan saringan ujian kendiri RTK Ag Saliva ke atas 1,183 individu di dalam Parlimen pada 29 Julai lalu. FOTO BERNAMA
KKM mengambil keputusan segera untuk menjalankan saringan ujian kendiri RTK Ag Saliva ke atas 1,183 individu di dalam Parlimen pada 29 Julai lalu. FOTO BERNAMA
Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil keputusan segera untuk menjalankan saringan ujian kendiri RTK Ag Saliva ke atas 1,183 individu di dalam Parlimen selepas pengesanan dua kes positif Covid-19 pada 29 Julai lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, seperti sedia maklum kebolehjangkitan adalah tinggi dua hari sebelum gejala dan berterusan sehingga hari ke tujuh.

Menurutnya, dengan pengesanan dua kes positif Covid-19 terbabit terutama dengan kes pertama iaitu seorang petugas hadir ke parlimen sejak 26 Julai lalu didapati mempunyai CT value 18.71 semasa ujian RT PCR menyebabkan KKM mengambil keputusan menjalan saringan segera.

"Hasilnya mendapati sembilan lagi kes positif Covid-19. Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif adalah 11 kes (seorang RT PCR positif dan 10 orang RTK Ag positif) dengan lima daripadanya bergejala.

"Bagi pengesahan lanjut, kesemua 10 kes positif RTK Ag diambil swab bagi ujian pengesahan jangkitan Covid-19 menggunakan RT PCR," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, lapan kes disahkan positif Covid-19 di mana lima kes mempunyai kadar kebolehjangkitan yang amat tinggi (CT value atau nilai ambang antara 12.67 hingga 18.19).

"Kesemua sampel ini dihantar ke Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) untuk dibuat ujian jujukan genom (genomic study) bagi mengenalpasti jenis varian virus SARS-CoV-2.

"Daripada lapan kes positif Covid-19 ini, hanya dua kes sahaja yang mempunyai sejarah vaksinasi Covid-19 lengkap (melepasi 14 hari dari tarikh dos kedua)," katanya.

Beliau berkata, sesemua kes ini stabil dan diberikan surat perintah pengawasan dan pemerhatian untuk menjalani pengasingan di tempat kediaman masing-masing serta dipakaikan gelang tangan pengawasan.

"Setakat ini seramai 48 kontak rapat dikenalpasti, namun siasatan dan pengesanan kontak rapat masih lagi diteruskan.

"Pada 30 Julai lalu, saringan pra-persidangan Dewan Negara dijalankan ke atas 100 individu menggunakan ujian RT PCR dan mendapati sembilan kes positif Covid-19," katanya.

Katanya, pemakluman kes sudah dilaporkan kepada KKM hari ini. Siasatan ke atas kes dan pengesanan kontak rapat sedang dijalankan untuk diambil tindakan kawalan dan pencegahan sewajarnya.

"Walaupun jumlah kes positif Covid-19 yang dikesan semasa Sidang Parlimen ini adalah 0.8 peratus, namun hasil penilaian risiko dengan mengambilkira faktor epidemiologi dan persekitaran, didapati persidangan Parlimen adalah perhimpunan yang berisiko tinggi untuk berlaku penularan jangkitan Covid-19," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Ogos 2021 @ 8:05 PM