Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Ahli parlimen UMNO diingatkan untuk membuat pertimbangan terhadap keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti sebelum menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Tan Sri Muhyiddin Yassin kekal sebagai Perdana Menteri.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Said berkata, walaupun mereka bebas membuat pilihan namun perlu diingatkan bahawa MKT sudah bersepakat menarik sokongan kepada PN dan Muhyiddin.

Katanya, tindakan tatatertib akan dikenakan ke atas Ahli Parlimen yang masih berdegil dan enggan mematuhi keputusan MKT, adalah isu berbeza.

"Ahli parlimen UMNO terutama yang masih memegang jawatan dalam kerajaan perlu ingat keputusan MKT adalah mandat ahli termasuk diperingkat akar umbi.

"Pendirian UMNO negeri adalah berpihak kepada Yang di-Pertuan Agong dan tidak akan mempertahan kerajaan PN pimpinan Muhyiddin Yassin," katanya kepada media selepas menyampaikan bantuan bakul makanan kepada pengayuh beca roda tiga dan pemandu kereta sewa, di sini, hari ini.

Ahmad (kiri) dan Nik Dir (kanan) menyampaikan bantuan kepada pengayuh beca roda tiga secara pandu lalu di perkarangan Ibu Pejabat UMNO negeri, hari ini. FOTO/BAHAROM BAKAR.
Ahmad (kiri) dan Nik Dir (kanan) menyampaikan bantuan kepada pengayuh beca roda tiga secara pandu lalu di perkarangan Ibu Pejabat UMNO negeri, hari ini. FOTO/BAHAROM BAKAR.

Pada majlis itu, seramai 20 orang pengayuh beca roda tiga dan 72 pemandu kereta sewa menerima bantuam bakul makanan dan wang tunai berjumlah RM200, membabitkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM24,840.

Ahmad yang juga bekas Menteri Besar negeri dan Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Kijal berkata demikian ketika mengulas terdapat ahli parlimen UMNO yang masih berpendirian untuk terus menyokong kerajaan PN dan Muhyiddin.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, semua ahli parlimen diingatkan hanya Presiden akan memilih dan mengeluarkan watikah sebagai calon mewakili parti untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU).

"Ahli Parlimen terutama yang masih menetapkan pendirian terus menyokong kerajaan PN dan Muyhiddin dianggaptidak menunaikan janji untuk setia bersama parti ketika UMNO dilanda kesusahan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Ogos 2021 @ 3:27 PM