Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Pengayuh beca roda tiga dan pemandu bot penambang akan menerima elaun bulanan RM300 seorang selama tiga bulan, berkuat kuasa bulan ini.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Senator Datuk Razali Idris berkata, pembayaran elaun khas selama tiga bulan itu bertujuan meringankan bebanan mereka yang terkesan susulan pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh (SPP) mulai 1 Jun lalu.

Beliau berkata, golongan pengayuh beca dan pemandu bot penambang adalah ikon kepada sektor pelancongan di Terengganu dan khidmat golongan itu perlu dihargai.

"Kebanyakan pengayuh beca roda tiga dan pemandu bot penambang berusia antara 70 tahun dan 85 tahun menghadapi kesukaran mencari rezeki berikutan ketiadaan pelanggan.

RAZALI (kiri) menyampaikan bantuan sekali bayaran kepada pengayuh beca roda tiga dan pemandu bot penambang, hari ini. FOTO BAHAROM BAKAR.
RAZALI (kiri) menyampaikan bantuan sekali bayaran kepada pengayuh beca roda tiga dan pemandu bot penambang, hari ini. FOTO BAHAROM BAKAR.

"Pendapatan golongan itu terjejas teruk sejak kerajaan mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 bagi membendung penularan pandemik Covid-19 bermula Mac tahun lalu," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis menyantuni pengayuh beca roda tiga dan pemandu bot penambang di Dataran Shah Bandar dan jeti bot penambang berhampiran Pasar Payang, di sini, hari ini.

Majlis penyampaian bantuan sekali bayaran sebanyak RM300 membabitkan peruntukan RM10,800 itu dilakukan secara pandu lalu dan dipantau Pasukan Pemantauan Pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP).

Pada majlis itu, seramai 19 pengayuh beca roda tiga dan 17 pemandu bot penambang menerima bantuan RM300 seorang.

Razali yang juga Ahli Dewan Negara dan Timbalan Pengerusi Majlis Senator Malaysia (MSM) berkata, ketika ini tiada pendapatan diperoleh golongan berkenaan berbanding antara RM50 dan RM80 sehari sebelum pelaksanaan PKP dan SPP.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Jun 2021 @ 7:48 PM