Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Semua pihak perlu menunggu titah daripada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al- Mustaffa Billah Shah mengenai kedudukan kerajaan ketika ini.

Ini kerana, Seri Paduka akan meneliti sokongan dengan Ahli Parlimen Umno yang dikatakan sudah menandatangani surat akuan menarik balik sokongan kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Dr Ahmad Marthada Mohamad berkata, surat yang disebut Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu adalah dokumen rasmi parti dan bertentangan dengan keputusan Ahli Parlimen.

"Apapun Yang di-Pertuan Agong tetap akan memanggil individu juga. Bagi saya kalau kita tengok proses sebelum ini, memang Seri Paduka panggil individu untuk mendapatkan jumlah kerana masing-masing tidak ada sokongan.

"Surat itu cuma keputusan rasmi parti, tetapi tidak menggambarkan sokongan setiap anggota parti," katanya.

Terdahulu Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno memutuskan menarik balik sokongan kepada kerajaan PN dan Muhyiddin.

Menurutnya, Umno memilih untuk mengambil pendirian berpihak kepada Yang di-Pertuan Agong dan tidak akan mempertahankan kerajaan PN dan Perdana Menteri selaras dengan Fasal 3.3 Perlembagaan Umno.

Berita berkaitan

Umno tarik sokongan kepada kerajaan, PM

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Ogos 2021 @ 7:00 PM