GAMBAR hiasan. FOTO Aziah Azmee
GAMBAR hiasan. FOTO Aziah Azmee
BERNAMA

Johor Bahru: Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar menzahirkan kekecewaan baginda mengenai kadar vaksinasi di negeri Johor yang masih rendah.

Mengikut statistik media sosial Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV), pemberian vaksin bagi Johor hingga 4 Ogos menunjukkan 33.3 peratus (1,260,049 orang) menerima vaksin dos pertama, manakala 13.1 peratus (495,730 orang) telah menerima dos kedua.

"Saya sebagai Sultan Johor bertanggungjawab dan diamanahkan untuk menjaga rakyat saya. Nyawa tidak boleh dijual beli. Saya selalu fikirkan penderitaan rakyat saya, terutamanya mereka yang jatuh sakit dengan Covid-19 dan telah meninggal dunia.

"Keadaan penularan yang sememangnya membimbangkan kini menjadi lebih parah dengan merebaknya kes-kes varian Delta. Strateginya amat jelas iaitu kita mesti memvaksinasi seramai mungkin populasi negeri kita dengan kadar secepat mungkin," titah baginda menerusi hantaran di laman Facebook rasmi baginda, malam tadi.

Sultan Ibrahim bertitah baginda bersama anakandanya Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail sudah lama berbincang dengan pihak tertentu dan meminta vaksin yang lebih banyak untuk rakyat Johor.

Sehubungan itu, baginda amat mengharapkan imuniti kelompok dapat dicapai secepat mungkin di Johor, malah di seluruh negara supaya kesannya kepada kehidupan seharian semua lapisan rakyat dapat pulih.

"Amat mengecewakan apabila kami seolah-olah perlu merayu untuk mempertingkatkan kadar vaksinasi untuk keselamatan rakyat kita sendiri," titah baginda.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Ogos 2021 @ 10:22 AM