Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar. Foto Ihsan FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar. Foto Ihsan FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
Nurul Amanina Suhaini

Johor Bahru: Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar bertitah menzahirkan kekecewaan atas kadar vaksinasi di negeri itu yang masih rendah.

Menerusi kenyataan dalam hantaran di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, perangkaan laman web Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) sehingga 2 Ogos menunjukkan sebanyak 31.3 peratus (1,184,151 orang) baru menerima vaksin dos pertama, manakala tiada perangkaan memaparkan kadar vaksinasi untuk dos kedua.

Baginda bertitah, sebagai Sultan Johor, baginda bertanggungjawab dan diamanahkan untuk menjaga rakyat.

"Nyawa tidak boleh dijual beli. Saya selalu fikirkan penderitaan rakyat saya, terutamanya mereka yang jatuh sakit dengan Covid-19 dan yang meninggal dunia.

"Keadaan penularan yang sememangnya membimbangkan kini menjadi lebih parah dengan merebaknya kes varian Delta.

"Strateginya amat jelas, iaitu kita mesti memvaksinkan seramai mungkin populasi negeri kita dengan kadar secepat yang mungkin.

"Amat mengecewakan apabila kami seolah-olah perlu merayu untuk mempertingkatkan kadar vaksinasi untuk keselamatan rakyat kita sendiri," titah baginda hari ini.

Sultan Ibrahim bertitah, baginda bersama Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang sudah lama berbincang dengan pihak tertentu dan meminta vaksin lebih banyak untuk rakyat Johor.

Baginda turut bertitah, amat mengharapkan imuniti kelompok dapat dicapai secepat mungkin di Johor, malah di seluruh negara supaya kesannya kepada kehidupan seharian semua lapisan rakyat dapat pulih.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Ogos 2021 @ 9:47 PM