GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Kerajaan Johor menyasarkan 100 peratus populasi dewasa rakyat negeri itu menerima dos pertama vaksin pada bulan depan.

Manakala dua dos lengkap pula disasarkan diselesaikan dalam masa dua bulan lagi.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad dalam muat naik di Facebook berkata, perkara itu mampu dicapai berikutan keupayaan pemberian suntikan vaksin sehingga 78,500 dos sehari sudah dicapai.

Katanya, keupayaan suntikan harian itu membolehkan kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa dapat ditingkatkan dengan lebih pantas.

"Alhamdulillah, Johor mencatatkan kadar vaksinasi populasi dewasa sebanyak 63.6 peratus untuk satu dos manakala 32.1 peratus bagi dua dos lengkap menerusi statistik semalam.

"InsyaAllah, kita sasarkan mampu mencapai kadar vaksinasi 100 peratus bagi satu dos pada pertengahan September ini.

"Manakala 100 peratus bagi dua dos lengkap pula pada Oktober ini," katanya dalam muat naik berkenaan.

Terdahulu, Hasni mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) bagi membincangkan isu membabitkan pengurusan kawalan pandemik Covid-19 di Johor.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan terus berusaha sehingga Johor mampu mencapai imuniti kelompok secepat mungkin bagi membolehkan lebih banyak sektor ekonomi dibuka.

"Oleh itu, saya menyeru semua rakyat Johor dapat terus kekal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) supaya kita berjaya memutuskan rantaian pandemik Covid-19 ini," katanya.

Semalam, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, dalam ciapan di Twitter baginda, menyatakan keyakinannya bahawa kadar vaksinasi di Johor akan meningkat dalam masa terdekat.

Baginda bertitah, ia sekali gus bakal membuka ruang beberapa aktiviti ekonomi kembali beroperasi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Ogos 2021 @ 10:32 AM