Foto hiasan
Foto hiasan
Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim memaklumkan Johor akan menerima sebanyak 1.9 juta dos vaksin Covid-19 pada bulan ini.

Tunku Ismail bertitah demikian di Facebook bahawa daripada jumlah dos vaksin itu sebanyak 1.76 juta adalah jenis Pfizer.

"Sukacita saya ingin maklumkan bahawa Johor akan menerima sebanyak 1.9 juta dos vaksin Covid-19 pada September ini.

"Dengan jumlah dos ini saya yakin seluruh Bangsa Johor akan menerima vaksin tidak lama lagi. Bersama-sama kita doakan kejayaan program vaksinasi Covid-19," titah baginda.

Isnin lalu, Tunku Ismail dilaporkan menitahkan Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad dan Pengarah Jabatan Kesihatan Johor Datuk Dr Aman Rabu menghadap baginda berhubung isu kekurangan vaksin di negeri itu.

Minggu lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan mengarahkan supaya kadar vaksinasi di enam negeri ditingkatkan melebihi 50 peratus menjelang hujung bulan depan.

Perdana Menteri dilaporkan berkata, negeri berkenaan adalah Terengganu, Perak, Johor, Kelantan, Kedah dan Sabah yang masih mencatatkan kadar pemberian vaksin di bawah 50 peratus setakat ini.

Untuk rekod, hanya 47.8 peratus penduduk Johor sudah menerima dos vaksinasi lengkap, manakala 78.8 peratus penduduk negeri itu sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin sehingga semalam.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 September 2021 @ 10:55 PM