Oleh Mohamed Farid Noh


Pagoh: Kira-kira 40 peratus populasi dewasa di Johor dijangka menerima vaksin sebelum 31 Ogos ini, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sehubungan itu, Perdana Menteri sudah mengarahkan sebanyak 1.5 juta dos vaksin Covid-19 dihantar ke Johor berbanding hanya 1.3 juta dos yang diumumkan sebelum ini.

Beliau berkata, penjelasan itu dibuat berikutan kekecewaan dizahirkan Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar, semalam serta Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Ibrahim, baru-baru ini.

"Saya ingin menyelesaikan isu vaksin di Johor berikutan Sultan Johor menzahirkan kekecewaan baginda semalam.

"Saya sudah minta Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin dan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba melihat situasi di Johor dan buat macam mana di negeri lain, kerana saya lihat (tahap vaksinasi) Johor ini masih di bawah.

"Khairy dan Dr Adham juga sudah diarahkan menghadap Sultan Johor dan Tunku Mahkota Johor untuk memberi penjelasan lanjut isu ini.

"Oleh itu, 1.5 juta dos akan dihantar ke Johor berbanding 1.3 dos yang dicadang peringkat awal dan langkah ini sekali gus membolehkan sebanyak 40 peratus populasi dewasa di negeri ini disasarkan menerima vaksin sebelum Hari Kemerdekaan negara," katanya.

Penerima vaksin menerima vaksin di Pusat Vaksinasi Industri  (PPVIN) di Pelabuhan Tanjung Pelepas Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Penerima vaksin menerima vaksin di Pusat Vaksinasi Industri (PPVIN) di Pelabuhan Tanjung Pelepas Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN

Muhyiddin berkata demikian selepas meninjau Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mobil Felda Lenga Batu 27, di sini, hari ini.

Beliau yang meluangkan masa kira-kira setengah jam di situ, turut menyampaikan sumbangan makanan basah kepada wakil masyarakat Felda Moakil yang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) pada 14 hingga 27 Julai lalu, di lokasi sama.

Semalam, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar menzahirkan kekecewaan atas kadar vaksinasi di Johor yang masih rendah.

Menerusi kenyataan dimuat naik dalam akaun Facebook rasmi Sultan Johor, baginda bertitah, sehingga 2 Ogos, perangkaan laman web Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 menunjukkan 31.3 peratus (1,184,151 orang) menerima vaksin dos pertama, manakala tiada perangkaan memaparkan kadar vaksinasi dos kedua.

Sementara itu, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh, berkata beliau mengakui kadar vaksinasi di Johor masih belum berada pada tahap yang memuaskan berbanding beberapa negeri lain disebabkan faktor pembekalan diterima adalah tidak mengikut waktu

"Johor hanya mencatat kadar vaksinasi kira-kira 20 peratus berbanding sesetengah negeri yang sudah capai 60 peratus.

"Johor bukan masalah rakyat tak mahu vaksin namun kerana bekalan yang sudah ditempah tidak sampai ikut waktu dijanjikan.

"Oleh itu, kita terpaksa beli tambahan di bawah Pharmaniaga Berhad untuk menampung dahulu kelompangan bekalan yang tidak sampai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Ogos 2021 @ 6:24 PM