KENDERAAN yang terbabit dalam kemalangan. FOTO Mohamad Hairi Azmi Tham
KENDERAAN yang terbabit dalam kemalangan. FOTO Mohamad Hairi Azmi Tham
Farah Suhaidah Othman


Kuala Kangsar : Seorang anggota polis berpangkat Koperal maut selepas kereta Proton Waja dipandunya dirempuh pacuan empat roda dalam kejadian di Jalan Kuala Kangsar - Manong berhampiran Kampung Keliang dekat sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.40 malam itu, Ahmad Sabri Ariffin, 51, maut di lokasi kejadian selepas kereta dipandunya dirempuh pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dari arah bertentangan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Perak, Superintendan Wan Jamil Wan Chik berkata, siasatan awal mendapati mangsa dalam perjalanan dari arah Kuala Kangsar menghala ke Manong.

Katanya, setibanya di lokasi kejadian Toyota Hilux berkenaan gagal memotong kenderaan di hadapannya sebelum merempuh Proton Waja yang datang dari arah bertentangan.

"Akibat rempuhan itu, kereta dipandu mangsa berpusing sebelum terbabas ke sebelah kanan jalan," katanya ketika dihubungi di sini.

Wan Jamil berkata, kemalangan itu menyebabkan mangsa tersepit dalam kereta terbabit sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan sebelum dihantar ke Hospital Kuala Kangsar untuk bedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Ogos 2016 @ 12:45 PM