KEMALANGAN yang berlaku dipercayai akibat pemandu wanita melawan arus. FOTO Ihsan Pembaca.
KEMALANGAN yang berlaku dipercayai akibat pemandu wanita melawan arus. FOTO Ihsan Pembaca.
Omar Ahmad


Johor Bahru: Wanita tempatan ditahan kerana memandu melawan arus hingga berlaku kemalangan di Kilometer 16 Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Rupiah Abd Wahid berkata, kejadian dilapor berlaku pada 1.45 pagi dipercayai berpunca daripada wanita berusia 30 tahun itu yang memandu Toyota Vios melawan arus dan melanggar bahagian hadapan dan sisi kanan sebuah kereta.

"Kedua-dua pemandu tidak cedera, namun ujian saringan air kencing suspek yang juga pengganggur mendapati dia positif dadah jenis amphetamine.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 45 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya menerusi dalam kenyataan di sini, hari ini.

Rupiah menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan itu untuk menyalurkannya kepada IPD Johor Bahru Utara di talian 07-5563122.

Sebuah video berdurasi lapan saat tular di media sosial, menunjukkan kemalangan itu yang berlaku secara berhadapan di laluan sehala.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 April 2022 @ 9:00 AM