Antara kereta yang terbabit dalam empat kemalangan di Nilai membabitkan 14 dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai untuk siasatan. - Foto Ihsan PDRM
Antara kereta yang terbabit dalam empat kemalangan di Nilai membabitkan 14 dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai untuk siasatan. - Foto Ihsan PDRM
BERNAMA

Nilai: Sebanyak 14 kenderaan terbabit dalam empat kemalangan di Lebuhraya Utara Selatan arah Utara dekat sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Nilai Superintendan Zaldino Zaludin berkata, keempat-empat kemalangan berlaku dalam jarak berhampiran antara satu sama lain.

Bagaimanapun menurutnya, semua pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Kemalangan pertama membabitkan Toyota Hilux dan lori di KM270 kira-kira 9 pagi berpunca daripada pemandu Toyota Hilux menekan brek secara mengejut mengakibatkan pemandu lori tidak sempat mengelak.

"Pelanggaran itu mengakibatkan Toyota Hilux terbalik. Bagaimanapun, kedua-dua pemandu hanya mengalami kecederaan ringan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Tidak jauh dari lokasi kemalangan pertama, berlaku kemalangan kedua membabitkan empat kenderaan, iaitu Proton Waja, Proton Saga, Nissan Latio dan Toyota Vios, kira-kira 9 pagi di KM272.4.

“Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta Toyota Vios melanggar belakang Nissan Latio menyebabkan kereta Toyota itu mengelongsor ke depan dan melanggar Proton Saga yang kemudian melanggar Proton Waja di depan,” katanya.

Kemalangan ketiga pula membabitkan tiga kenderaan, iaitu dua Perodua Myvi dan sebuah lori, kira-kira 9 pagi di KM272.9.

"Kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu lori melanggar belakang Myvi menyebabkannya mengelongsor ke depan melanggar satu lagi Myvi,” katanya.

Bagi kemalangan keempat yang berlaku kira-kira 10 pagi di KM272.4, ia membabitkan lima kenderaan iaitu kereta jenis Mazda, Suzuki Swift, Perodua Myvi, Honda Civic dan Proton Saga.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 January 2017 @ 9:41 PM