Zuliaty Zulkiffli

Sungai Petani: Seorang pesakit Covid-19 yang memakai gelang pengawasan berwarna merah jambu dan di bawah arahan kuarantin di rumah mengadu sesak nafas kepada petugas di sekatan jalan raya (SJR) Plaza Tol Sungai Petani Utara, di sini, sebentar tadi, sebelum polis membantu mengiringinya ke hospital.

Lelaki berusia 38 tahun yang memandu kereta Perodua Kancil itu dikesan memakai gelang pengawasan berkenaan ketika melalui SJR kira-kira 10 malam ini, dan memaklumkan dalam perjalanan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, hasil siasatan mendapati, lelaki itu dari Taman Kempas, dekat sini, dalam perjalanan ke HSAH selepas mengalami sesak nafas dan turut mengadu keletihan.

Beliau berkata, lelaki itu memaklumkan dia tinggal seorang diri dan hendak menjalani pemeriksaan di hospital.

"Berikutan itu, polis membantu mengiringi lelaki itu sehingga ke HSAH bagi memastikan dia dapat menjalani rawatan lanjut.

"Soal siasat juga mendapati, lelaki itu sudah dikuarantin sejak tiga atau empat hari lalu kerana positif Covid-19," katanya ketika ditemui dalam pemeriksaan SJR Plaza Tol Utara, di sini, sebentar tadi.

Hadir sama, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kedah, Superintendan Chuah Seong Lim.

Adzli (kanan sekali) ketika bertanyakan lelaki yang didapati positif Covid-19 melalui SJR Plaza Tol Sungai Petani Utara. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Adzli (kanan sekali) ketika bertanyakan lelaki yang didapati positif Covid-19 melalui SJR Plaza Tol Sungai Petani Utara. FOTO Zuliaty Zulkiffli

Difahamkan, ada lima SJR didirikan di daerah ini dan didapati terdapat penurunan kenderaan keluar masuk ke sini pada 11 Julai lalu sehingga semalam.

Dalam pada itu, Adzli berkata, beliau kesal dengan tindakan individu di kawasan yang dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Sungai Lalang dan Bakar Arang yang dikesan merosakkan dan memotong kawat duri untuk membolehkan mereka keluar sesuka hati.

Katanya, kerosakan itu sudah dibaiki dengan bantuan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

"Namun hari ini kita berjaya mengesan individu yang cuba merosakkan dan mengalihkan pagar duri serta halangan di kawasan PKPD Taman Bandar Baharu, Sungai Lalang hari ini.

"Perbuatan itu dikesan 2 pagi tadi selepas mendapati pagar duri dan halangan itu sudah dialihkan serta dirosakkan," katanya.

Katanya, setakat ini pihaknya giat mengesan individu yang terbabit dan siasatan boleh dilakukan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Julai 2021 @ 11:52 PM