Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Dua lagi sekatan jalan raya (SJR) ditambah di kawasan sempadan Alor Setar-Pokok Sena untuk mengelak penduduk keluar masuk di kawasan Kota Setar.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Noor Azman Mohd Noor berkata, dua sekatan dilaksanakan di Jabi iaitu membabitkan dua laluan iaitu Alor Setar ke Pokok Sena dan Pokok Sena ke Alor Setar.

Beliau berkata, SJR baru itu bermula pagi tadi untuk mengelak orang ramai keluar ke daerah lain.

"Ia menjadikan sembilan SJR dilaksanakan untuk PKPD Kota Setar setakat ini," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sebelum ini tujuh SJR dilaksanakan di hadapan Restoran Haji Ramli di Simpang Empat, Jalan Batas Paip di Kuala Kedah, Tol Alor Setar Utara dan Tol Alor Setar Selatan, hadapan Balai Polis Kepala Batas dan Jalan Hutan Kampung.

Sehubungan itu, orang ramai yang hendak berurusan keluar masuk di kawasan SJR terutama di kawasan sempadan daerah lain perlu mempunyai surat kebenaran daripada balai polis berhampiran.

KENDERAAN yang diperiksa ketika melalui SJR Alor Janggus. FOTO Zuliaty Zulkiffli
KENDERAAN yang diperiksa ketika melalui SJR Alor Janggus. FOTO Zuliaty Zulkiffli

Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran bermula sejak Jumaat lalu membabitkan 366,787 isi rumah di 28 mukim di Kota Setar.

PKPD bermula 11 September sehingga 25 September 2020 berikutan peningkatan kes Covid-19 membabitkan kluster Telaga dan kluster Sungai.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 September 2020 @ 2:26 PM