Zuliaty Zulkiffli

Sungai Petani: Penunggang motosikal p-hailing boleh disaman RM300 sekiranya mereka dikesan melakukan kesalahan dengan melanggar lampu isyarat.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kedah, Superintendan Chuah Seong Lim berkata, tindakan mereka yang mengejar masa sampai ke lokasi dituju boleh membahayakan keselamatan orang ramai dan diri sendiri.

Beliau berkata, walaupun tiada tindakan diambil setakat ini terhadap golongan itu namun pihaknya memberi nasihat supaya mereka mematuhi arahan yang ditetapkan.

"Setakat ini kemalangan yang berlaku membabitkan penghantar makanan hanya membabitkan kes kecil namun ia jangan dipandang ringan.

"Tindakan saman RM300 boleh dikenakan sekiranya mereka didapati melanggar lampu isyarat dan saman sebanyak itu tidak berbaloi dengan pendapatan yang diterima dalam sehari," katanya ketika ditemui di sekatan jalan raya (SJR) Plaza Tol Sungai Petani Utara, di sini, malam tadi.

ANGGOTA polis melakukan pemeriksaan terhadap motosikal di SJR Plaza Tol Sungai Petani Utara. FOTO Zuliaty Zulkiffli
ANGGOTA polis melakukan pemeriksaan terhadap motosikal di SJR Plaza Tol Sungai Petani Utara. FOTO Zuliaty Zulkiffli

Chuah berkata, statistik menunjukkan peningkatan kes kematian membabitkan penunggang motosikal di negeri ini iaitu 136 mangsa tahun ini berbanding 128 orang tahun lalu.

Beliau berkata, jumlah peningkatan itu agak membimbangkan dan orang ramai perlu sedar mengenai keselamatan diri sendiri ketika menunggang motosikal di jalan raya.

Dalam pada itu, Chuah turut menasihatkan ibu bapa supaya mengawasi anak masing-masing agar tidak terjebak dengan aktiviti sosial ketika pandemik Covid-19 ini.

Katanya, ketika ini masih ramai remaja yang dikesan terbabit dalam aktiviti berkumpul dan samseng jalanan sehingga sanggup melakukan rentas daerah.

"Ibu bapa kena pantau pergerakan anak-anak kerana mereka bukan saja terdedah dengan jangkitan Covid-19 akibat berkumpul malah keselamatan mereka juga apabila terbabit dengan kegiatan samseng jalanan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Julai 2021 @ 10:34 AM