GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Zuliaty Zulkiffli

Sungai Petani: Cubaan tiga individu untuk merentas negeri menggunakan bas henti-henti tanpa surat kebenaran polis gagal apabila mereka ditahan secara berasingan, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, pihaknya menahan seorang operator kilang berusia 35 tahun ketika memeriksan bas henti-henti di sekatan jalan raya (SJR) Plaza Tol Sungai Petani (Selatan), di sini, pada 10 pagi.

Menurutnya, wanita berkenaan ditahan kerana gagal menunjukkan surat kebenaran polis untuk merentas negeri dari Pulau Pinang ke negeri ini.

"Berikutan itu, wanita berkenaan dikompaun RM5,000 mengikut Peraturan 4 (1) Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPDPP) (Kawalan Pergerakan) 2021.

"Pemeriksaan lanjut juga menahan seorang lelaki warga Myanmar berusia 67 tahun yang tiada dokumen perjalanan selepas gagal menunjukkan surat kebenaran polis untuk merentas negeri.

"Siasatan terhadap lelaki itu dibuat mengikut Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 4 (1) Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPDPP) (Kawalan Pergerakan) 2021," katanya dalam kenyataan, di sini.

Menurutnya, pihaknya juga menahan lelaki warga Indonesia ketika menaiki bas henti-henti dari Pulau Pinang ke Sungai Petani di SJR sama pada 1.45 tengah hari tadi.

Katanya, pemeriksaan mendapati lelaki berusia 33 tahun itu tiada dokumen perjalanan dan surat kebenaran polis untuk merentas negeri.

"Lelaki terbabit juga ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 4 (1) Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPDPP) (Kawalan Pergerakan) 2021.

"Kedua-dua lelaki warga asing itu direman 14 hari untuk siasatan lanjut, manakala wanita tempatan terbabit pula dikompaun RM5,000," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Mei 2021 @ 7:14 PM