Amir Abd Hamid dan Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Selain petugas tetap dan kontrak yang ditempatkan di Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah menambah segera sejumlah 1,190 petugas kesihatan di tiga negeri berkenaan.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, untuk mengoptimumkan sumber manusia, KKM turut sudah memobilisasikan seramai 417 petugas kesihatan dari negeri lain ke Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan yang mencatatkan peningkatan mendadak kes Covid-19.

Katanya KKM juga akan menambah kira-kira 5,000 petugas dan sukarelawan untuk menyokong penyampaian perkhidmatan di Lembah Klang dan Negeri Sembilan.

"Untuk meningkatkan perkhidmatan kesihatan awam, Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) akan beroperasi setiap hari di semua CAC sedia ada. Tambahan petugas sudah dan sedang diuruskan oleh KKM.

"Mengambil kira kehadiran pesakit yang menghadapi masalah pernafasan, CAC juga akan dilengkapkan dengan keperluan oksigen sementara pesakit menunggu rujukan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps) 2.0 atau hospital," katanya dalam sidang media khas Task Force Greater Klang Valley, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah; Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Chong Chee Keong merangkap Komander Unified Common Centre di Selangor dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Selangor Datuk Dr Sha'ari Ngadiman.

Dr Adham berkata, sistem nilai tambah (VAS) seperti perkhidmatan farmasi umpamanya ubat-ubatan secara pandu lalu dan secara pos serta preskripsi jangka panjang hingga enam bulan juga akan diperluaskan untuk mengurangkan kesesakan.

Menurutnya, turut dipertingkatkan liputan vaksinasi Covid-19 di semua pusat pemberian vaksin (PPV) termasuk di klinik kesihatan, PPV awam, Pusat Pemberian Vaksin Khas (SPPV), PPV integrasi, PPV mega, outreach dan secara pandu lalu.

PETUGAS kesihatan memantau dan merawat pesakit Covid-19 ketika tinjauan di Zon Kecemasan Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang. FOTO Osman Adnan.
PETUGAS kesihatan memantau dan merawat pesakit Covid-19 ketika tinjauan di Zon Kecemasan Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang. FOTO Osman Adnan.

"Bagi lokaliti yang diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), langkah akan dibuat bagi memastikan semua individu yang layak boleh mendapatkan vaksinasi mereka.

"Program vaksinasi kepada pihak industri juga akan diberikan keutamaan.

"Oleh itu, pendekatan ini akan dibincangkan segera antara pihak Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar (Mosti), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) dan kerajaan negeri," katanya.

Apa pun, katanya, pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) secara menyeluruh bagi menangani Covid-19 akan terus dilaksanakan dengan membabitkan masyarakat awam di pelbagai peringkat seperti jawatankuasa kampung, rukun tetangga, jawatankuasa taman perumahan dan sebagainya.

Secara keseluruhan beliau berkata, KKM sudah membelanjakan peruntukan tambahan sebanyak RM700 juta di seluruh negara dalam usaha memerangi pandemik itu.

"Sebagai tambahan, kerajaan bersetuju untuk menambah peruntukan bagi pengurusan Covid-19 di Lembah Klang sebanyak RM100 juta untuk aktiviti penyumberluaran, sebanyak RM20 juta bagi pengurusan kesihatan mental, tambahan kelengkapan wad bagi 151 katil serta 15 ventilator dan berkaitan dengannya di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang sebanyak RM5 juta; penambahan ruang di hospital di Selangor sebanyak RM5 juta; bayaran elaun Covid-19 bagi kakitangan di Unit Rawatan Rapi (ICU) sebanyak RM1,000 sebulan; penyediaan taska/ sewa bangunan bagi menempatkan anak-anak petugas sebanyak RM1.5 juta dan peruntukkan sebanyak RM2 juta untuk Pusat Kuarantin khas bagi petugas," katanya.

Beliau berkata, bagi kemudahan cuti tanpa rekod yang dimohon oleh petugas, Dr Adham mengharapkan Ketua Jabatan dapat mempertimbangkannya bagi membolehkan petugas mendapat pemulihan sebelum bertugas semula.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Julai 2021 @ 7:36 PM