FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
BERNAMA

Klang: Sebanyak dua juta dos vaksin covid-19 yang bakal tiba hujung bulan ini akan diagihkan ke Lembah Klang meliputi Selangor, Kuala Lumpur serta Negeri Sembilan untuk digunakan awal Ogos kelak.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, agihan itu akan dibuat bagi membantu mempercepatkan usaha mengawal penularan jangkitan covid-19 di kawasan berisiko tinggi.

Beliau berkata bagi tujuan yang sama, kesemua Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) sedia ada akan beroperasi setiap hari dengan tambahan petugas dan sedang diuruskan Kementerian Kesihatan.

"Mengambil kira kehadiran pesakit yang menghadapi masalah pernafasan, CAC juga akan dilengkapkan dengan keperluan oksigen sementara pesakit menunggu rujukan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) Bersepadu Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) dan hospital," katanya selepas melawat Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini, tadi.

Muhyiddin berkata, berdasarkan data pada 11 Julai lalu, keseluruhan kes jangkitan covid-19 di Selangor berjumlah 286,352 individu manakala bagi88,958 individu dijangkiti covid-19 di Kuala Lumpur dan Putrajaya.

"Jumlah ini merangkumi 45 peratus daripada keseluruhan kes jangkitan covid-19 di negara ini," katanya.

Beliau berkata, bagi kes kematian akibat covid-19 pula, jumlah yang dicatatkan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya adalah sebanyak 2,700 orang iaitu 44 peratus daripada keseluruhan kes kematian didaftarkan di seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Julai 2021 @ 4:51 PM