ANGGOTA bomba menyelamatkan penduduk yang terjejas banjir. FOTO ihsan Bomba
ANGGOTA bomba menyelamatkan penduduk yang terjejas banjir. FOTO ihsan Bomba
Mohamed Farid Noh


Kota Tinggi: Seramai 23 penduduk termasuk tiga bayi dari Kampung Baru Sungai Mas, di Bandar Penawar, dekat sini, dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) berikutan banjir di kampung berkenaan, malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penawar, Mohd Fadli Ismail, berkata, dua jentera dengan kekuatan lapan anggota dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan penduduk, 10.20 malam tadi.

Katanya, setibanya di lokasi, Komander Operasi, Izwani Abd Hamid mengesahkan hujan lebat menyebabkan air sungai di belakang kampung berkenaan melimpah ke rumah penduduk.

"Air banjir naik setinggi 1.2 meter dengan arus yang deras menyebabkan penduduk kampung perlu segera dipindahkan.

"Anggota bomba bertindak memindahkan penduduk kampung seramai 23 orang dengan dibantu bot fiber orang kampung.

"Semua mangsa banjir dipindahkan ke PPS di Balai Raya Kampung Baru Sungai Mas," katanya ketika dihubungi.

Mohd Fadli berkata, mangsa terdiri daripada sembilan lelaki dewasa, enam wanita dewasa, seorang warga emas, empat kanak-kanak dan tiga bayi.

Katanya, operasi ditamatkan 2.35 pagi tadi selepas kesemua penduduk terjejas berjaya dipindahkan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Disember 2020 @ 10:58 AM