ANGGOTA Bomba menyelamatkan mangsa banjir di Kampung Laut. FOTO ihsan Bomba
ANGGOTA Bomba menyelamatkan mangsa banjir di Kampung Laut. FOTO ihsan Bomba
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Seramai 28 mangsa banjir yang terperangkap dalam rumah di Kampung Laut, Skudai diselamatkan anggota Bomba dan Penyelamat, semalam.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Johor berkata, ia termasuk dua warga emas, 15 dewasa dan 11 kanak-kanak.

Beliau berkata, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Skudai menerima

panggilan kecemasan banjir pada 7.39 malam.

Katanya, operasi diketuai oleh Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohamad Riduan Akhyar dengan kekuatan 20 anggota bomba.

"Kampung berkenaan dilanda banjir tiga hari lalu dan ia berulang semalam apabila hujan lebat berlarutan dua jam dan pada kali ini air banjir didapati mencecah paras lebih satu meter.

"Seramai 28 mangsa banjir membabitkan lapan keluarga yang terperangkap dalam rumah di kawasan pinggir sungai berjaya diselamatkan.

"Mereka ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Skudai dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kuo Kuang di sini.

"Operasi berjalan lancar walaupun paras air naik secara mendadak hingga anggota bomba berdepan dengan kesulitan ketika menyelamatkan mangsa.

"Operasi tamat pada 12.10 tengah malam tadi dan tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan," katanya menerusi siaran media.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 September 2021 @ 11:39 AM